Datuk Bandar Kuching mohon maaf langgar SOP COVID-19 hadir sambutan hari lahir
Astro Awani
Mei 18, 2021 20:39 MYT
Mei 18, 2021 20:39 MYT
KUALA LUMPUR: Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Datuk Wee Hong Seng hari ini memohon maaf kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 dan bersedia dikompaun atas kesalahannya.
Dalam catatan terbaharu di laman Facebooknya, Hong Seng menjelaskan, ia berpunca dari kejutan makan tengah hari sempena hari jadinya yang dianjurkan kawannya.
"Hari ini saya memohon maaf secara terbuka, saya dikejutkan dengan makan tengah hari sempena hari jadi oleh kawan-kawan di MBKS.
"Saya menyedari ia boleh dilihat sebagai sambutan hari jadi. Ini tidak boleh dijadikan alasan dan saya mengakui ia tidak betul.
"Oleh itu saya bertanggungjawab sepenuhnya dan meminta penguatkuasa MBKS untuk mengeluarkan kompaun," jelasnya.
Katanya lagi, kompaun akan dibayar menggunakan wang peribadi.
Hong Seng turut meminta maaf kepada seluruh masyarakat di Kuching dan berjanji ia tidak akan berlaku lagi.
Beliau turut meminta masyarakat memaafkan kesilapannya itu.
#Kuching
#COVID-19
#ingkar SOP
#Wee Hong Seng
#SOP COVID-19
#Facebook
#sambutan hari jadi
#Majlis Bandaraya Kuching Selatan