Datuk Bandar KL & KP UNESCO meriahkan KLWBC2020

Zainal Rashid Ahmad
April 22, 2020 12:47 MYT
KLWBC 2020 ialah pengiktirafan UNESCO terhadap Kuala Lumpur berdasar meritnya sebagai aspirasi perbukuan dunia.
KUALA LUMPUR akan mencatat sejarah dengan semangat dan daya juang tersendiri apabila merasmikan pelancaran sebagai bandaraya hos Ibu Kota Buku Dunia (KLWBC 2020).
Sebagai Ibu Kota Buku Dunia ke-20, Kuala Lumpur pasti memainkan peranan kebangkitan semula semangat dunia melalui pembacaan dan perbukuan ketika tujuh bilion penduduk di 193 negara berdepan ancaman COVID-19.
KLWBC 2020 ialah pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Warisan PBB (UNESCO) terhadap Kuala Lumpur berdasar meritnya sebagai aspirasi perbukuan dunia.
Majlis perasmian akan diadakan esok, pukul 12 tengah hari melalui aplikasi digital di semua media sosial rasmi KLWBC 2020.
Acara selama 30 minit ini akan dilancarkan secara langsung melalui Facebook Page KL Baca, Instagram rasmi @kualalumpurwbc dan Twitter @KualaLumpurWBC.
Paling unik, ketika dunia masih berdepan 'lockdown' kerana wabak COVID-19, Kuala Lumpur dan Ibu pejabat UNESCO di Place de Fontenoy, Paris akan berganding tenaga.
Selain siaran langsung ini disiarkan di seluruh negara, ia turut boleh diakses 195 negara keahlian UNESCO.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham A Dahlan dan Ketua Pengarah Unesco, Audrey Azoulay akan menyampaikan ucapan mengisi pelancaran julung kali acara Ibu Kota Buku Dunia melalui platform digital.
Perasmian di platform digital dibuat bagi mematuhi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan hingga 28 April ini.
Selain ucapan Azoulay dan Nor Hisyam, siaran lansung virtual ini akan turut melancarkan lagu tema KLWBC 2020 berjudul 'Surat Cinta Kuala Lumpur'.
Klip video lagu nyanyian dan gubahan Datuk Ramli Sarip ini akan dimuat baik selepas ucapan perasmian. Selain itu, video khas KLWBC 2020 turut disiarkan.
Penonton juga berpeluang mendengar deklamasi sajak 'Merinduimu Buku' karya Sasterawan Negara, Datuk Seri A Samad Said.
BACA: Ramli Sarip & 'Surat Cinta Kuala Lumpur' meriahkan KLWBC 2020
Sempena pelancaran ini juga, peminat buku boleh menyertai pelbagai pertandingan anjuran media sosial rasmi KLWBC 2020, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Kunjungi Facebook Page KL Baca, Instagram rasmi @kualalumpurwbc dan Twitter
@KualaLumpurWBC dan segera sertai pelbagai pertandingan yang menawarkan hadiah menarik.
KLWBC 2020 akan berjalan selama setahun bermula 23 April ini hingga 22 April 2021.
Selain majlis perasmian KLWBC 2020, PNM turut menganjurkan kempen Jom Baca pada jam 11.00 pagi 23 April ini.
Acara ini juga bersempena perasmian KLWBC2020.
Peminat buku diraikan untuk memuat naik foto membaca buku atau e-buku di Facebook PerpustakaanNegaraMalaysia atau Instagram pnm_rasmi.
Jangan lupa sertakan tanda pagar : #jombacabersama2020 #klbaca2020 #klwbc2020 #bangsamembacabangsaberjaya #malaysiamembaca #dudukrumahbacabuku #bacadirumah.
#Ibu Kota Buku Dunia #KLWBC #Kuala Lumpur #Pertubuhan Pendidikan Sains dan Warisan PBB #Ramli Sarip #Surat Cinta Kuala Lumpur
;