Datuk Baharin Din Presiden dan CEO TNB baharu

Luqman Hariz
Februari 10, 2021 14:36 MYT
Baharin menggantikan Datuk Seri Amir Hamzah Azizan yang dilantik menjadi CEO KWSP berkuat kuasa 1 Mac 2021. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Lembaga Pengarah Tenaga Nasional Berhad (TNB) hari ini melantik Datuk Baharin Din sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat itu yang baharu, berkuat kuasa 1 Mac ini.
Beliau menggantikan Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, yang dilantik menjadi CEO Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berkuat kuasa tarikh yang sama.
Amir memegang jawatan Presiden dan CEO TNB sejak April 2019.
Baharin kini berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian yang bertanggungjawab menerajui segmen perniagaan terbesar syarikat itu.
Beliau berkhidmat bersama TNB selama 36 tahun, bermula pada tahun 1985 sebagai pembantu jurutera (pembinaan).
Bahrin berkelulusan ijazah Sarjana Muda Sains dalam Kejuruteraan Elektrikal daripada Syracuse University, New York dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan daripada Bond University di Sydney.
“Kami juga ingin mengucapkan tahniah kepada Datuk Baharin atas pelantikannya. Saya yakin beliau akan terus memacu TNB ke arah mencapai aspirasi strategik untuk menjadi pembekal terunggul bagi solusi tenaga mampan di Malaysia dan peringkat antarabangsa.
“Meskipun berdepan dengan cabaran disebabkan pandemik COVID-19 dan PKP, TNB kekal beroperasi dengan stabil dan mencatatkan prestasi kewangan yang membanggakan dengan pulangan yang baik kepada pemegang sahamnya,” kata Pengerusi TNB , Datuk Seri Mahdzir Khalid.
#TNB #Baharin Din #KWSP #Amir Hamzah Azizan #CEO #GLC #PKP 2 0 #Mahdzir Khalid
;