Datuk antara 5 ditahan sindiket pemprosesan dadah, penyeludupan arak

Siti Nur Aqilla Omar
November 29, 2023 11:30 MYT
Kamarul Zaman menunjukkan antara barangan yang dirampas dalam dua serbuan polis. - Astro AWANI
PASIR GUDANG: Seorang lelaki bergelar Datuk, dipercayai dalang sindiket pemprosesan dadah dan penyeludupan arak, ditahan bersama empat yang lain termasuk dua warga asing dalam dua serbuan berasingan pada Selasa.
Dalam serbuan pertama di sebuah premis kilang di kawasan perindustrian Pasir Puteh, di sini, anggota penguat kuasa turut merampas dadah, arak dan beberapa kenderaan mewah dengan nilai keseluruhan RM10.3 juta.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata modus operandi sindiket ini menjadikan kabin kontena sebagai tempat simpanan arak dan pemprosesan dadah ekstasi sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.
Katanya, kegiatan pengedaran dadah ini dikesan aktif sejak Jun lalu.
Dalam serbuan itu, polis merampas lebih 23 kilogram serbuk dan pil ekstasi, 188,840 tin arak tidak bercukai, pelbagai barang kemas, dan wang tunai pelbagai mata wang.
"Menerusi serbuan pertama, pihak polis menahan seorang lelaki tempatan dan dua lelaki berusia 26 hingga 46 tahun.
"Dalam operasi ini kita melakukan pemeriksaan ke atas 11 kontena dan menemukan 7,910 kotak mengandungi 189,840 tin arak tanpa cukai bernilai RM5,538,977.
"Modus operandi kegiatan ini adalah membawa arak tanpa cukai, kemudian disimpan dalam kontena sebelum dihantar berdasarkan pesanan diterima di Johor Bahru.
"Kegiatan ini telah aktif beroperasi sejak November 2022. Kegiatan pengedaran dadah ini telah aktif beroperasi sejak Jun tahun ini.
"Dalam serbuan ini kita merampas satu tong mengandungi 22.84 kilogram serbuk ekstasi bernilai RM1,676,823; 2,320 biji pil ekstasi seberat 696 gram (RM50,982); dan 10 tong serta tiga botol mengandungi 182.90 liter cecair kimia (RM70,416). Jumlah nilai rampasan dadah RM1,798,221," katanya.
"Polis turut merampas mesin dan peralatan memproses dadah selain menyita 10 kenderaan (RM2,587,000); pelbagai barang kemas (RM219,048) dan pelbagai wang tunai pelbagai mata wang (RM235,397) dengan keseluruhan sitaan berjumlah RM3,041,445.
Beliau berkata demikian pada sidang media di ibu pejabat daerah Seri Alam, Pasir Gudang, Johor.
Jelas Kamarul Zaman, lima suspek termasuk dua warga asing yang ditahan berusia 26 hingga 54 tahun, direman hingga Jumaat.
Hasil saringan air kencing lima suspek terbabit negatif dadah dan mereka didapati tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39 b Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967, Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen pindaan 2002 dan Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah Pencegahan Khas) 1985.
#Dadah #Datuk #arak #Kamarul Zaman Mamat
;