Datasonic dapat kontrak bernilai RM50.1 juta daripada KDN
Bernama
Februari 17, 2022 05:17 MYT
Februari 17, 2022 05:17 MYT
KUALA LUMPUR: Datasonic Group Bhd (Datasonic) telah memperoleh kontrak bernilai RM50.12 juta daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk pembekalan kad belum diproses MyKad, MyTentera, MyPOCA dan sedia digunakan oleh Jabatan Pendaftaran Negara bernilai RM50.11 juta.
Datasonic dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia berkata, anak syarikat milik penuhnya Datasonic Technologies Sdn Bhd (DTSB) semalam menerima surat anugerah (LOA) itu untuk kontrak setahun yang bermula dari 15 Februari 2022.
Di bawah terma LOA, DTSB dikehendaki memberikan jaminan bank (bon prestasi) berjumlah RM2.5 juta kepada KDN dengan tempoh sah laku dua tahun bermula 15 Feb 2022, katanya.
Syarikat juga perlu melaksanakan program Professional Training and Education for Growing Entrepreneurs (PROTEGE) seperti yang ditetapkan oleh kerajaan berdasarkan jumlah kontrak dengan bilangan peserta minimum 20 orang, tanpa sebarang kos kepada kerajaan.
Datasonic berkata kontrak itu dijangka menyumbang secara positif terhadap pendapatan masa depan kumpulan dan aset bersih sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2022.
-- BERNAMA