Dataran Merdeka diterangi cahaya pelita, gamit suasana Aidilfitri di kampung
Bernama
April 18, 2023 11:20 MYT
April 18, 2023 11:20 MYT
KUALA LUMPUR: Suasana kemeriahan menyambut kedatangan Aidilfitri seperti di kampung halaman turut dirasai di ibu kota apabila padang Dataran Merdeka, di sini diterangi dengan cahaya 100 pelita raya jenis lampu diod pemancar cahaya (LED) .
Lebih menarik, sebuah replika Pelita Panjut Gergasi Lima Sumbu, berukuran 6.1 meter panjang turut dipasang yang menjadi daya tarikan utama dan memberikan pengalaman unik kepada pengunjung sekali gus mewarnai keindahan suasana pada waktu malam.
Ia mula dinyalakan pada Sabtu lepas hingga 12 tengah malam pada 20 April ini sebagai sebahagian pengisian menarik sempena Iftar@KL yang dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Tinjauan Bernama mendapati kawasan pencahayaan pelita raya berkenaan dikunjungi orang ramai daripada pelbagai lapisan usia yang tidak mahu melepaskan peluang merakam gambar bermula selepas berbuka puasa hingga 11 malam.
Seorang pengunjung dari Wangsa Maju, Muhaimin Abdullah, 40, berkata beliau terpegun melihat keindahan Dataran Merdeka yang dihiasi lampu pelita raya, seolah-olah mengimbau nostalgia menyambut Aidilfri di kampung ketika zaman kecil.
"Secara kebetulan saya datang ke Dataran Merdeka kali ini untuk berbuka puasa bersama keluarga dan tidak menyangka di tengah-tengah padang ini dihiasi dengan lampu pelita raya walaupun hanya menggunakan lampu jenis LED.
"Usaha menghidupkan semula tradisi menyalakan pelita raya di tempat tumpuan seperti ini amat bertepatan dalam usaha mempopularkan kepada generasi sekarang dan pelancong asing," katanya yang turut mengambil peluang berswafoto bersama keluarganya dengan pelita panjut gergasi.
Sementara itu, seorang pelancong asing dari Maghribi, Mohammed Amine, 31, turut berkongsi keterujaan kerana kali pertama melihat pelita raya yang budaya itu tidak ada di negara asalnya.
"Ia (pelita LED) amat menakjubkan. Ia menambahkan lagi kemeriahan sambutan hari raya dan saya akan berkongsi keunikan ini dengan rakan-rakan yang tidak mengetahuinya menerusi media sosial," katanya.
-- BERNAMA