'Datang KL untuk 'test' motosikal'
Sinar Harian
Disember 17, 2023 10:00 MYT
Disember 17, 2023 10:00 MYT
KUALA LUMPUR: KUALA LUMPUR - Sanggup datang ke ibu negara dari Puchong, Selangor bersendirian untuk menguji kelajuan motosikal yang diubah suai, namun tindakan itu hanya menjerat diri selepas ditahan polis di sini pada Ahad.
Difahamkan, lelaki yang bekerja sebagai mekanik itu ditahan kira-kira jam 2 pagi menerusi Op Motosikal oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur.
Sinar Harian yang menyertai operasi terbabit mendapati lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Aidil, 21, mendakwa motosikal jenis Yamaha 135LC ditunggangnya ialah milik pelanggannya.
"Motosikal ini sudah diubah suai ekzos, brek belakang serta enjin dengan modal kira-kira RM7,000 dan boleh capai kelajuan hingga 200km/jam.
"Saya datang seorang ke Kuala Lumpur ini untuk 'test' motosikal. Saya reda ditahan, saya sudah hubungi pemiliknya untuk jelaskan kes ini," katanya ketika ditemui di lokasi operasi di sini pada Ahad.
Selain itu, operasi yang tamat pada jam 5 pagi turut menyaksikan cubaan 'membunuh diri' segelintir penunggang yang melawan arus bagi mengelakkan daripada ditahan polis.
Sementara itu, Timbalan Ketua JSPT Kuala Lumpur, Superintenden Zulkafli Chek Lah berkata, sebanyak enam sekatan jalan raya dilakukan dalam operasi itu di lokasi tumpuan utama iaitu Jalan Tun Razak, Jalan Sultan Ismail dan Jalan Sultan Azlan Shah.
Menurutnya, lokasi berkenaan menjadi tumpuan penunggang untuk menguji kelajuan motosikal masing-masing.
"Kita juga mendapat aduan daripada penduduk sekitar di sini bahawa bunyi bising terutama berhampiran Institut Jantung Negara (IJN) dan sekitarnya," katanya kepada pemberita di sini.
Beliau berkata, operasi itu bertindak menyita 247 motosikal dan 628 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan antaranya cermin sisi, ubah suai ekzos dan modifikasi brek.
Jelasnya, siasatan awal polis percaya penunggang-penunggang terdiri daripada kumpulan kecil ini datang dari dalam dan luar Kuala Lumpur terutama sekitar Lembah Klang.
"Mereka akan berkumpul di sekitar lokasi ini dan membuat bising," ujarnya.
Mengenai tindakan penunggang yang melawan arus, Zukafli berkata, pihaknya akan mengesan penunggang terbabit menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) untuk tindakan mahkamah.
"Sebelum ini kita kesan mereka berkumpul seawal jam 10 malam hingga 2 pagi, namun menyedari tindakan pihak polis, kumpulan ini aktif pada jam 3 pagi," katanya.
Ujar beliau, pada tahun ini di tiga lokasi terbabit sahaja, sebanyak 665 motosikal disita dan 23,081 saman dikeluarkan. - Sinar Harian