Datang awal sehari demi sambutan Hari Kebangsaan 2024

Sinar Harian
Ogos 31, 2024 14:10 MYT
Orang ramai mula berkampung di pekarangan Dataran Putrajaya di sini sejak tengah malam tadi bagi menyaksikan Sambutan Hari Kebangsaan 2024 yang berlangsung 8 pagi ini. -Foto Bernama
PUTRAJAYA: Hari Kebangsaan 2024 mendapat sambutan luar biasa apabila pengunjung mula memenuhi lokasi perarakan sehari sebelum program berlangsung.

Ringkasan AI
  • Hari Kebangsaan 2024 bertemakan 'Malaysia Madani: Jiwa Merdeka' mendapat sambutan luar biasa dengan pengunjung memenuhi lokasi perarakan sehari sebelum acara berlangsung. Acara ini menekankan konsep kebersamaan rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat.
  • Sambutan diserikan dengan keberangkatan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong, serta tembakan meriam kehormat melambangkan 14 negeri.
  • Perarakan melibatkan lebih 17,000 peserta, 59 kontinjen, dan 439 aset ketenteraan. Kelainan tahun ini termasuk perbarisan Kontinjen Komuniti Malaysia Madani dan persembahan tarian 'Cuci Rasuah'.
  • Walaupun hujan seketika, semangat penonton tetap tinggi. Kemudahan lengkap disediakan termasuk musolla bergerak, tapak perkhemahan, khemah perubatan, dan tandas bergerak. Kira-kira 100,000 penonton hadir memeriahkan sambutan.

Bertemakan 'Malaysia Madani: Jiwa Merdeka', acara sambutan Hari Kebangsaan 2024 kali ini mengetengahkan konsep kebersamaan rakyat yang terdiri daripada segenap lapisan masyarakat.
Ia sinonim dengan maksud tema tahun ini iaitu perlambangan kesepaduan secara holistik negara maju dan progresif menaungi rakyat berbilang kaum, bersatu hati serta teguh jati diri.
Acara berkenaan diserikan dengan keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah selain kehadiran barisan Jemaah Menteri serta perwakilan asing.
Sewaktu acara pembukaan berlangsung, sebanyak 14 das tembakan meriam kehormat dilepaskan bagi melambangkan 14 negeri dalam Malaysia.
Sambutan kemuncak itu juga menyajikan perbarisan dan perarakan melibatkan lebih 17,000 peserta, 59 kontinjen, 24 pasukan pancaragam serta 439 aset ketenteraan.
Kelainan yang dibawa kali ini ialah perbarisan Kontinjen Komuniti Malaysia Madani diterajui Kementerian Perpaduan Negara, yang juga kontinjen terpanjang berpakaian etnik lengkap beraksesori bagi melambangkan kepelbagaian budaya masyarakat di negara ini.
Disertai 800 peserta, keunikan kontinjen itu ditonjolkan melalui alatan (prop) dan persembahan khas sebagai simbolik perpaduan masyarakat antaranya kumpulan kompang, chingay, tarian naga dan singa, tarian merak, perarakan kuda serta pahlawan Bajau.
Dalam pada itu, persembahan tarian 'Cuci Rasuah' yang didedikasikan khas kepada perjuangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menjadi acara yang dinanti-nantikan pengunjung.
Begitu juga dengan pertunjukan udara oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang berlangsung dalam tempoh lebih lama berbanding tahun lalu.
Durasi penerbangan ditambah daripada 10 saat kepada 15 hingga 20 saat bagi jarak antara pesawat agar orang ramai dapat melihat persembahan itu dengan lebih lama.
Antara pesawat pejuang yang ditonjolkan adalah Sukhoi Su-30MKM, F/A - 18D Hornet dan Bae Hawk.
Mengulas mengenai kemudahan yang disediakan, rata-rata pengunjung memuji persiapan pihak penganjur untuk sambutan Hari Kebangsaan 2024.
Beberapa individu yang sempat berbual bersama wartawan Sinar Harian mengakui kemudahan di sini lengkap dan sangat memudahkan.
Pada masa sama, pengunjung beragama Islam juga tidak perlu bersusah payah mencari lokasi untuk solat kerana terdapat dua gerabak musolla bergerak termasuk khemah turut disediakan.
Penganjur turut menawarkan perkhidmatan sewa tapak perkhemahan 'glamping' di Taman Pancarona dengan caj bermula dari RM20 hingga RM55.
Selain itu, antara kemudahan tambahan lain adalah 400 tapak perkhemahan, 15 khemah perubatan dan 200 tandas bergerak disediakan untuk pengunjung.
Mengulas mengenai keadaan cuaca, walaupun hujan membasahi bumi seketika pada awal pagi, namun ia tidak mematahkan semangat dan keterujaan penonton yang hadir untuk melihat perarakan penuh.
Ada dalam kalangan pengunjung juga seakan sudah mengetahui keadaan tersebut akan berlaku kerana mereka membawa payung dan baju hujan masing-masing.
Berdasarkan data yang dikeluarkan pihak penganjur, kira-kira 100,000 penonton hadir untuk menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan 2024 ini. -Sinar Harian
#Hari Kebangsaan #Malaysia Madani Jiwa Merdeka #Hari Malaysia #Datang awal sehari