Data responden NHMS 2024 dijamin sulit, tidak akan disalah guna

Farhan Hakimi
Julai 30, 2024 02:20 MYT
Terdapat penubuhan jawatankuasa etika yang telah menetapkan elemen kerahsiaan sebagai satu perkara yang perlu dipatuhi ketika proses bancian dilakukan.
KUALA LUMPUR: Data responden bagi proses bancian menerusi Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) akan dipelihara dan dijamin selamat untuk diberikan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia.
Menurut penyelidik utama NHMS 2024, Dr. Ahmad Ali Zainuddin, ini kerana terdapat penubuhan jawatankuasa etika yang telah menetapkan elemen kerahsiaan sebagai satu perkara yang perlu dipatuhi ketika proses bancian dilakukan.
Katanya lagi, sebaik sahaja segala informasi yang diperoleh ketika aktiviti pengumpulan data NHMS 2024 yang bermula pada Julai 2024 hingga September 2024 itu dijalankan, maklumat berkenaan identtiti responden akan dihilangkan dan tidak dikongsikan dengan mana-mana agensi lain.
"Penduduk-penduduk yang kita dapatkan data ini, apabila kita (pihak NHMS) analisis, kita bukan menjurus kepada individu.
"Maksudnya bila kita dapat nanti (data) kita akan kata bagaimana pola bagi penduduk Malaysia itu dilihat dan bukan individu.
"Bermaksud, ia bersifat tidak spesifik dan bertumpu hanya kepada pola pemakanan individu semata-mata.
"Habis sahaja daripa proses bancian ini dilakukan, identifikasi dan maklumat peribadi responden juga akan dihilangkan dan tidak akan dikongsi dengan mana-mana pihak," ujarnya dalam program AWANI Pagi pada Selasa ketika menjawab berkenaan pertimbangan sesetengah rakyat Malaysia yang bimbang sekiranya data mereka akan disalahguna ketika proses bancian dijalankan.
NHMS yang dijalankan ke atas rakyat Malaysia pada tahun ini adalah sebuah bancian yang bertujuan menentukan ketidakjaminan makanan, pola dan tabiat pengambilan makanan dalam kalangan penduduk Malaysia.
Penemuan ini akan membekalkan kementerian kesihatan dan kementerian lain maklumat penting untuk mengkaji semula keutamaan dan inisiatif pemakanan negara serta memacu kemajuan negara ke arah komitmen global dan matlamat nasional.
Proses bancian akan dijalankan kepada penduduk Malaysia berusia lima tahun ke atas, dengan tempat kediaman dipilih secara rawak oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Sebanyak 5280 tempat kediaman telah terpilih bagi mewakili kawasan bandar dan luar bandar di seluruh Malaysia daripada 132 blok perhitungan.
Temuramah akan dijalankan di rumah oleh penemuramah lapangan terlatih menggunakan tablet yang mengandungi soal-selidik NHMS 2024.
Tempoh yang diambil bagi sesi temuramah adalah lebih kurang satu hingga dua jam dimana beberapa aktiviti akan dijalankan seperti pengukuran berat dan tinggi, pemeriksaan tekanan darah dan pengambilan sampel air kencing 24 jam.
#Kementerian Kesihatan Malaysia #Jabatan Perangkaan Malaysia #NHMS #Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi