Data raya dimanfaat mudahkan agihan pakej rangsangan kepada golongan rentan - Johan Merican

Israr Khalid
April 6, 2021 18:58 MYT
Jelas Johan, ia selepas pihaknya mendapat maklum balas bahawa masih ramai golongan berpendapatan rendah yang layak belum menerima pakej suntikan ekonomi itu ketika keadaan ekonomi negara masih mendesak. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan akan memanfaatkan data raya untuk memperluas capaian bantuan kepada golongan rentan.
Dengan itu kata Pengarah Pejabat Belanjawan Negara, Datuk Johan Mahmood Merican, golongan tersebut tidak perlu bersusah payah untuk mendaftarkan diri untuk memohon bantuan yang diperlukan.
Jelas Johan, ia selepas pihaknya mendapat maklum balas bahawa masih ramai golongan berpendapatan rendah yang layak belum menerima pakej suntikan ekonomi itu ketika keadaan ekonomi negara masih mendesak.
"Dahulunya kita bergantung kepada pendaftaran daripada individu, maknanya seseorang itu mesti memohon. Tapi kita ambil tahu bahawa sebenarnya banyak lagi agensi yang berurusan dengan golongan rentan dan mereka yang terjejas.
"Seperti contoh, gelandangan dan golongan kurang upaya adalah bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Jadi kita akan ambil daripada pangkalan data agensi-agensi tersebut.
"Kita menyerapkan data tersebut dan sekiranya menepati kriteria, bantuan akan disampaikan tanpa perlu mereka memohon," katanya.
Menurut Johan, ketika ini Bantuan Sara Hidup (BSH) sudah diterima oleh empat juta orang dan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) lebih lapan juta penerima.
Begitupun masih ramai yang memerlukan pakej rangsangan itu, dan pihaknya akan meneruskan usaha supaya tiada yang tertinggal.
#Agenda Awani #Kementerian Kewangan #Bantuan Sara Hidup #bantuan prihatin rakyat #Datuk Johan Merican #BHS #golongan rentas #pakej rangsangan #COVID-19
;