Data penerbangan CN235 siap dimuat turun
Hilal Azmi
Mac 4, 2016 18:33 MYT
Mac 4, 2016 18:33 MYT
Data penerbangan dalam pesawat CN235 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kini siap dimuat turun untuk proses analisis.
Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Roslan Saad memberitahu, pihaknya difahamkan proses tersebut telah siap biarpun berlaku kerosakan pada komponen berkenaan.
"Semalam kita telah menghantar dua orang jurutera TUDM untuk membantu dalam pemprosesan data selepas ia siap dimuat turun.
"Biarpun terdapat kerosakan yang menyukarkan proses mendapatkan data penerbangan, alhamdulillah proses itu selesai dan kita belum dapat pastikan lagi keputusan analisis yang akan diperoleh," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Katanya lagi, usaha mengeluarkan pesawat juga giat diteruskan dan kini pihaknya dengan bantuan pasukan Tentera Darat dalam proses mengeluarkan beberapa komponen pesawat termasuk enjin dan ekor pesawat.
Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Penubuhan dan Penghantaran Tim Pemantau Antarabangsa - Mindanao 11 (TPA-M11).
Pasukan terbabit akan bertugas selama 12 bulan mulai 14 Mac ini akan diketuai Mejar Jeneral Datuk Wira Zamrose Mohd Zain sebagai Ketua Misi.
Keanggotaan untuk Tim Pemantau ini meliputi 16 orang daripada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Tentera Darat, TLDM, PDRM dan pegawai awam dari Kementerian Pertahanan dan Kementerian Luar Negeri.
Pasukan ini akan memantau perjanjian damai bagi penubuhan entiti baharu Bangsamoro bagi menggantikan wilayah autonomi Islam Mindanao.