Data pemohon rumah kos rendah di Selangor didakwa hilang

Bernama
Mac 22, 2017 08:08 MYT
Masalah itu dikatakan telah berlanjutan sejak 2010 dan tidak adil bagi pemohon kerana selepas menunggu berbulan-bulan, individu terbabit diminta membuat permohonan baru berserta pelbagai dokumen pengesahan diri. - Gambar hiasan
Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) diminta memberi penjelasan berhubung dakwaan ada data pemohon projek perumahan kos rendah di Selangor hilang dalam senarai LPHS, walaupun telah ditawarkan rumah.
Presiden Kelab Harmoni Selangor (KHS), Dr V. Sunder berkata pihaknya menerima banyak aduan daripada pemohon 'Rumah Selangorku' berkaitan permohonan mereka lenyap dalam sistem LPHS sehingga perlu membuat permohonan baharu.
"Sudah beribu pemohon yang dimaklumkan layak dan mendapat tawaran membeli rumah di bawah program ini kecewa kerana selepas melakukan semakan, nama dan butiran peribadi hilang seolah-olah dipadamkan dalam senarai itu," katanya pada sidang media di sini pada Selasa.
Menurutnya masalah itu dikatakan telah berlanjutan sejak 2010 dan tidak adil bagi pemohon kerana selepas menunggu berbulan-bulan, individu terbabit diminta membuat permohonan baru berserta pelbagai dokumen pengesahan diri.
Beliau berkata LPHS termasuk Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali wajar memberi penjelasan kerana walaupun aduan telah banyak kali dibuat, masalah itu masih berulang.
Seorang pemohon, Razuan Abdul Rahman, 58, mengakui namanya antara yang hilang dalam senarai LPHS walaupun telah membuat permohonan sebanyak dua kali.
"Kali pertama saya mohon secara dalam talian pada Oktober tahun lepas, setelah menunggu dan saya dapati nama saya hilang, saya buat permohonan kali kedua pada Januari lepas.
"Saya berjaya kali ini dan ditawarkan membeli rumah tetapi semalam apabila saya semak semula nama saya tiada lagi dalam sistem LPHS...sedih dan kecewa sebab terasa susah sangat nak beli rumah pertama. Rumah kos rendah sahaja pun," katanya.
LPHS dalam kenyataan di sini berkata tempoh sah laku setiap permohonan yang didaftarkan melalui Sistem Pendaftaran Permohonan Rumah Selangorku (SPPRS) adalah dua tahun dan selepas tempoh itu, nama pemohon akan dikeluarkan daripada sistem itu.
"Apabila nama pemohon dikeluarkan mereka perlu membuat permohonan semula sekiranya masih berminat memohon semula unit perumahan berkenaan.
"Pemohon yang pernah menolak tawaran akan diletakkan status 'tidak aktif' untuk tempoh dua tahun dan permohonan baharu pula hanya boleh dibuat selepas tempoh dua tahun itu berakhir," kata LPBS. -- Bernama
#data hilang #Lembaga Perumahan Hartanah Selangor #LPHS #Presiden Kelab Harmoni Selangor #rumah kos rendah #V. Sunder
;