Data keberkesanan vaksin COVID-19 tidak akan pernah lengkap - Pakar
Najib Aroff
Disember 10, 2020 16:49 MYT
Disember 10, 2020 16:49 MYT
KUALA LUMPUR: Data tentang keberkesanan vaksin COVID-19 tidak akan pernah lengkap kerana ia memerlukan kajian menyeluruh dalam masa panjang, malah mungkin berdekad untuk pembuktian kukuh.
Menurut Pakar Kesihatan Awam, Dr Khor Swee Kheng, sebaliknya pertimbangan harus diwujudkan melihat kepada keadaan penularan COVID-19 semasa yang mendesak pengedaran vaksin dengan segera.
“Jumlah data yang diberikan oleh syarikat Pfizer dan BioNtech memang tidak lengkap sebab jika kita buat kajian menyeluruh dalam masa berdekad sekalipun, akan tetap timbul persoalan.
“Tetapi kita lihat jumlah pesakit yang menerima vaksin setakat ini sekitar 19,000 orang dan ini angka yang tinggi.
“Kebiasaannya pemberian vaksin kepada jumlah ini memerlukan masa panjang malah sehingga 10 tahun.
“Justeru angka 19,000 dalam masa singkat boleh dianggap cukup menyeluruh,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Dr Khor berkata bagi Malaysia pula, kepercayaan harus diberikan kepada Agensi Pengawalselia Farmaseutikal Kebangsaan (NPRA) untuk mengeluarkan kelulusan berkaitan vaksin berkenaan.
“Kita harus membuat pertimbangan kerana kita tidak boleh tunggu selamanya untuk mendapatkan data (keberkesanan) itu.
“Satu hari nanti kita perlu bergantung kepada NPRA atau agensi yang meluluskan ubat-ubatan dan vaksin di Malaysia.
“Kita bergantung kepada NPRA untuk menggunakan budi bicara dan kebijaksanaan mereka untuk memberitahu kita bilakah data tersebut akan mencukupi,” katanya.
Dr Khor berkata, tiga kayu ukur utama juga boleh digunakan dalam menentukan keberkesanan vaksin Pfizer dan BioNtech.
“Kayu ukur pertama adalah hasil ujian dijalankan oleh Pfizer dan BioNtech, kedua kelulusan agensi lain seperti di Amerika Syarikat dan United Kingdom, dan ketiga adalah pengalaman sebenar seperti kempen vaksinasi yang baru dilancarkan di UK.
Sebelum ini pengawalselia perubatan Switzerland, Swissmedic berkata mereka kekurangan data untuk meluluskan keberkesanan vaksin Pfizer dan BioNtech termasuk jenis penyakit yang dihidapi penerima vaksin.
Sementara itu mengulas kes enam kematian individu yang menerima vaksin COVID-19, Dr Khor berkata tiada data menunjukkan kematian itu disebabkan vaksin yang diterima.
"Mereka yang menerima vaksin dipantau selama dua bulan secara purata dan dalam jangka masa itu hanya enam kes kematian.
"Dua orang adalah dalam kumpulan penerima vaksin dan empat orang adalah belum menerima vaksin. Tiga daripada empat orang itu mempunyai penyakit jantung manakala seorang lagi menghidapi angin ahmar. Malah mereka juga merupakan golongan berusia.
"Dua lagi kematian belum mempunyai data lengkap punca kematian. Jika kita lihat jumlah yang ada kesan sampingan teruk sehingga menyebabkan kematian adalah sangat rendah berbanding 19,000 orang," katanya.