Data COVID-19 mengelirukan, rombak semula polisi kuarantin kendiri - Shafie Apdal

Afiezy Azaman
September 14, 2021 10:57 MYT
Shafie berkata, kes kematian dan Brought-In-Death baru-baru ini sangat tinggi berbanding dua bulan lepas. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Data mengenai COVID-19 yang disalurkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada umum didakwa banyak yang mengelirukan dan tidak jelas seperti sebelum ini.
Menurut Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Shafie Apdal, perkara itu dapat dilihat dalam pemberitahuan maklumat dan data dikeluarkan KKM sejak beberapa minggu lalu.
"Data dan maklumat yang dipamer kepada orang awam tidak lagi diberikan dalam bentuk infografik dengan maklumat yang terperinci sebagaimana sebelum ini.
"Maklumat juga tidak disalurkan pada laman web dan media sosial KKM, sebaliknya telah dipindahkan kepada laman pihak ketiga iaitu CovidNow dan Github.
"Laman Github pula memerlukan akses secara berdaftar sebelum boleh mendapatkan dan menggunakan maklumat yang ada, tanpa maklumat tepat dan telus boleh menimbulkan persepsi kerajaan cuba mempolitikkan data wabak ini bagi menunjukkan keadaan adalah terkawal," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Semporna itu berkata, sejak bulan Julai lalu KKM mengeluarkan arahan semua pesakit baharu yang dijangkiti COVID-19 perlu menjalani kuarantin di rumah.
Ujarnya, hebahan juga dibuat menyatakan penggunaan kemudahan kesihatan awam semakin menurun dan hospital dikatakan semakin lapang dan kurang sibuk, malah Unit Rawatan Rapi (ICU) juga tidak lagi penuh.
Namun, kata Shafie, situasi tersebut dikhuatiri tidak menggambarkan keadaan sebenar memandangkan kes kematian dan Brought-In-Death (BID) sangat tinggi berbanding dua bulan lepas.
"Untuk makluman, pada 11 September 2021, sebanyak 239,351 kes positif yang aktif telah direkodkan di mana 83.3% daripadanya menjalani kuarantin kendiri di rumah.
"Pada tarikh yang sama, sebanyak 592 kematian dilaporkan, tertinggi sejak wabak bermula dan angka ini termasuk 88 kes BID.
"Data-data ini menunjukkan bahawa pengurusan wabak tidak dibuat sepenuhnya oleh kerajaan dan rakyat dibebankan untuk membuat kuarantin dan penjagaan sendiri di rumah.
"Lebih membimbangkan, dengan jumlah kematian dan BID yang tinggi, mungkin kerana mereka ini tidak mempunyai akses kepada jagaan kesihatan yang sepatutnya disediakan oleh kerajaan," katanya.
Justeru, Shafie menyarankan kerajaan meneliti dan merombak semula polisi kuarantin kendiri ini agar rakyat yang positif mendapat jagaan sewajarnya oleh sistem kesihatan awam negara.
"Secara tidak langsung ini dapat mengelakkan lebih banyak kematian dan BID pada masa akan datang. Sekiranya tidak dilakukan, kita khuatir ia bakal merumitkan lagi kesiapsiagaan negara mencapai fasa endemik nanti," tambah beliau.
Shafie menyarankan sistem kesihatan awam diperkasa menerusi lebih banyak bantuan dan dana bagi membolehkan hospital berfungsi secara maksima.
"Di samping itu, kerajaan perlu meningkatkan kapasiti sistem kesihatan negara untuk menerima lebih ramai pesakit supaya dapat dikuarantin di hospital, bukannya di rumah sebagaimana situasi yang berlaku pada waktu ini," katanya.
#Shafie Apdal #KKM #kuarantin kendiri #data mengelirukan
;