'Dashcam' ciptaan anak tempatan bantu kesan jalan berlubang

Hilmi Malik
Januari 7, 2021 20:22 MYT
Izad menjelaskan penggunaan teknologi AI bantu mengesan jalan berlubang dengan lebih sistematik.
SHAH ALAM : Penggunaan teknologi dalam mengesan keadaan jalan berlubang di negara ini mampu menjimatkan masa pihak terlibat khususnya bagi membendung insiden tidak diingini sehingga tercetus korban jiwa.
Ketua Pegawai Eksekutif Inference Tech Sdn Bhd, Izad Che Muda berkata, penggunaan sistem kecerdasan buatan (AI) tidak memerlukan masa yang begitu panjang berbanding manual.
“Kita gunakan teknologi tersebut untuk kesan jalan berlubang dan rosak secara automatik menggunakan kamera ‘dashcam’ (kamera papan pemuka).
“Dengan adanya teknologi ini kita tidak perlu lagi bergantung kepada aduan daripada rakyat dan ia akan terus disalurkan kepada pihak berkuasa termasuk lokasi dan jenis kerosakan,” katanya ketika ditemu bual Astro AWANI pada Khamis.
Menurut Izad, sistem tersebut turut mengumpulkan data aduan orang ramai berhubung isu kerosakan sebelum ia disalur terus kepada pihak berwajib.
Setakat ini, sistem berkenaan telah diguna pakai oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor yang memberi tumpuan di kawasan Sabak Bernam dan Kuala Selangor.
Untuk rekod, dua kawasan itu sahaja telah mencatatkan lebih 1,000 kes kemalangan melibatkan isu jalan berlubang dan rosak.
Sementara itu, Izad turut memberi penjelasan mengenai isu komunikasi yang mengakibatkan aduan orang ramai tidak sampai kepada saluran yang sepatutnya.
“Ramai yang salah anggap bila isu kerosakan jalan pihak yang bertanggungjawab adalah syarikat konsesi di bawah JKR dan peruntukan membaiki jalan dikeluarkan pihak JKR,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berpendapat kualiti bahan bagi pembaikan jalan perlu ditambah baik khususnya di kawasan pedalaman dan laluan kenderaan berat yang menyebabkan kejadian sama berulang.
Teknologi AI kesan jalan berlubang
#jalan berlubang #JKR #pbt #Inference Sdn Bhd #teknologi tempatan #dashcam #Kamera papan pemuka #kesan jalan berlubang
;