Dasar Rumah Negara 2.0 bakal siap - Noh Omar

Bernama
Disember 12, 2017 04:25 MYT
"DRN 2.0 digubal secara lebih komprehensif dengan mengambil kira penambahbaikan, antaranya cabaran baharu industri perumahan. - Gambar fail
Dasar Rumah Negara (DRN) 2.0 bagi tempoh 2018 hingga 2022 kini dalam fasa akhir penyediaan, persidangan Dewan Negara diberitahu pada Selasa.
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar berkata DRN 2.0 merupakan kesinambungan DRN sedia ada bagi tempoh 2013 hingga 2017.
"DRN 2.0 digubal secara lebih komprehensif dengan mengambil kira penambahbaikan, antaranya cabaran baharu industri perumahan seperti penyediaan rumah transit untuk golongan belia kategori M40, reka bentuk dan kawal selia harga perumahan terkini," katanya ketika menggulung Rang Undang-undang Perbekalan 2018 peringkat dasar bagi kementeriannya di sini.
Noh berkata DRN 2.0 akan melibatkan kerjasama Khazanah Research Institute dan kerajaan-kerajaan negeri.
Dalam pada itu, Noh berkata kementerian juga sedang di peringkat akhir pembangunan portal Sistem Bank Data Perumahan yang dijangka boleh diakses mulai tahun depan.
Menerusi portal berkenaan, orang ramai dapat melihat stok dan penjualan rumah di bawah kategori unit rumah kuota bumiputera yang terdapat dalam pasaran hartanah semasa, katanya.
-- BERNAMA
#Dasar Rumah Negara #Dewan Negara #DRN #golongan belia #khazanah research institute #Noh Omar #rumah transit
;