Dasar, program pendidikan tanpa persediaan rapi hanya akan membawa kegagalan - Anuar Ahmad

Astro Awani
Disember 25, 2024 04:00 MYT
Anuar berkata, sejarah menyaksikan pelbagai dasar dan inisiatif pendidikan yang dengan peruntukan menelan belanja berbilion ringgit, namun semuanya gagal. - Gambar hiasan/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Dasar pendidikan negara yang diwujudkan tanpa persediaan yang rapi atau tidak diterima oleh majoriti masyarakat, akhirnya hanya akan menimbulkan polemik dan seterusnya menjadi gagal, tegas Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Anuar Ahmad.
Beliau berkata, sejarah menyaksikan pelbagai dasar dan inisiatif pendidikan yang dilaksanakan dengan peruntukan menelan belanja berbilion ringgit, seperti Sekolah Bestari, Sekolah Wawasan, Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) antara lain, yang semuanya tidak mencapai objektif yang ditetapkan.
Tegasnya lagi, kesan langsung kegagalan sesuatu dasar atau agenda pendidikan negara akan menyebabkan keciciran murid meningkat dan jurang pencapaian murid juga akan melebar.
“Keciciran dan jurang pendidikan ini dalam jangka panjang akan memberi kesan besar kepada taraf ekonomi keluarga dan pendapatan individu. Jurang antara yang kumpulan kaya dan miskin juga akan melebar. Negara tidak akan berada dalam keadaan yang baik jika hal ini seperti berlaku.
“Menimbulkan semula perbincangan dasar pendidikan yang 'terpendam' ini hanya akan menimbulkan perdebatan yang tidak berkesudahan.
“Cukuplah jika saya katakan, apabila sesuatu dasar pendidikan dilaksanakan dalam keadaan kita tidak benar-benar bersedia atau diterima majoriti masyarakat, maka dasar atau agenda pendidikan tersebut akan sukar dilaksanakan atau mungkin sahaja akan gagal,” katanya lagi.
Terkini Anuar berkata, negara disajikan pula dengan polemik Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dalam sistem pendidikan negara.
Beliau berkata, kedua-dua sistem tersebut adalah satu dasar pentaksiran bagi menggantikan UPSR/PT3, dan ia berakar tunjang daripada Pentaksiran Sekolah (PS) pada tahun 2012.
“Maksudnya, sudah lebih 12 tahun dilaksanakan. Kemudian akibat desakan dan tentangan kuat para guru, PS dimansuhkan pada 2015. Dan kemudian PBD pula dilaksanakan pada 2017. Maksudnya, sudah tujuh tahun PBD dilaksanakan. Secara prinsip, sudah genap kitaran PBD/PBS untuk sekolah rendah dan menengah.
“Hasil dialog dan interaksi berterusan bersama guru dan ibu bapa, saya yakin ramai guru-guru yang sokong supaya dikekalkan UPSR di dalam hati masing-masing. Cuma sebahagian besar daripada mereka tidak bersedia untuk bersuara secara terbuka. Ibubapa juga begitu,” dakwanya lagi.
Dalam pada itu Anuar berkata, ada beberapa dasar dan program pendidikan yang berjaya dilaksanakan bila jika semua pihak cukup bersedia, dan idea tersebut diterima baik oleh majoriti rakyat.
Antara program tersebut, terang beliau lagi, seperti program Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Rancangan Makanan Tambahan (RMT), Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT), Program Susu Sekolah, Program Sekolah K11, Sekolah Inklusif (PPI/PPKI) dan cadangan pendidikan wajib 11 tahun.
Ada juga program yang sudah baik dan diterima oleh masyarakat, namun Anuar berkata, ia hanya perlu penambahbaikan sahaja seperti Inisiatif Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT), Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
#Dr Anuar Ahmad #sistem pendidikan negara #dasar pendidikan gagal
;