Dasar Perhutanan Malaysia: AS$100 juta dijangka dibawa masuk melalui MFF - Perdana Menteri
Hasimi Muhamad
Mac 21, 2021 13:09 MYT
Mac 21, 2021 13:09 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia Forest Fund (MFF) dijangka membawa masuk dana sebanyak AS$100 juta dalam tempoh tujuh tahun akan datang untuk menguruskan sektor perhutanan negara.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dana tersebut akan disalurkan kepada kerajaan negeri khusus untuk usaha-usaha konservasi termasuk perhutanan sosial yang akan dapat meningkatkan taraf sosioekonomi Orang Asli dan komuniti setempat.
Jelas Muhyiddin, Jemaah Menteri telah bersetuju meluluskan penubuhan MFF pada tahun lalu, sebagai sebuah entiti yang akan menguruskan mekanisme kewangan.
"Saya yakin usaha-usaha yang akan dilaksanakan oleh MFF akan membuka peluang kepada badan korporat, pihak swasta dan institusi kewangan untuk bersama-sama terlibat sebagai rakan strategik dalam aktiviti konservasi hutan melalui instrumen-instrumen pensijilan karbon iaitu Forest Conservation Certificates (FCC) dan Forest Carbon Offsets (FCO).
"FCC dan FCO yang dikeluarkan oleh MFF adalah berdasarkan keperluan United Nations Framework Convention on Climate Change (UNFCCC) yang pastinya akan memberi kelebihan kepada badan-badan korporat dari segi penerimaan pengguna dan meningkatkan akses pasaran," katanya di Taman Botani, di sini hari ini.
Perdana Menteri berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Pelancaran Dasar Perhutanan Malaysia sempena Sambutan Hari Hutan Antarabangsa 2021 yang disiarkan secara langsung, hari ini.
[TERKINI] Pelancaran Dasar Perhutanan Malaysia oleh Perdana Menteri
Menurut Muhyiddin, penglibatan sektor swasta dalam usaha untuk memulihara dan mengurus khazanah negara melalui pensijilan karbon juga akan dapat meningkatkan Indeks Environmental, Social and Governance (ESG) syarikat.
Kata beliau lagi, ia bukan sahaja terhad semata-mata sebagai satu aktiviti tanggungjawab sosial korporat.
"Malah aspek pelaporan kelestarian dalam bidang perniagaan telahpun menjadi satu keperluan sektor swasta pada masa kini.
"Saya amat berharap pihak swasta akan mengambil peluang ini untuk bekerjasama sebagai rakan strategik MFF ke arah meningkatkan lagi usaha-usaha konservasi Hutan Kita secara kolektif," ujar beliau lagi.
Warta Rizab Hidupan Liar untuk Harimau Malaya
Dalam perkembangan sama, Muhyiddin berkata, kerajaan menghargai komitmen yang ditunjukkan oleh kerajaan-kerajaan negeri dalam mewartakan Kawasan Sensitif Alam Sekitar iaitu Hutan Simpanan Kekal, kawasan perlindungan, Rizab Hidupan Liar dan kawasan berkepentingan antarabangsa seperti Tapak RAMSAR dan Tapak Manusia dan Biosfera (MAB).
Katanya, Rancangan Fizikal Negara Keempat (RFN4) yang sedang dimuktamadkan akan turut memberi penekanan kepada kawasan koridor ekologi Central Forest Spine (CFS) bagi menjamin kesinambungan landskap hutan menerusi penubuhan koridor ekologi baharu.
"Pendekatan ini berupaya mengurangkan konflik manusia dan hidupan liar serta membolehkan pergerakan bebas hidupan liar khususnya spesis-spesis ikonik negara yang diancam kepupusan.
"Sekiranya tindakan luar biasa atau extra ordinary actions tidak dilakukan sekarang, negara pasti akan kehilangan spesies ikonik terutamanya Harimau Malaya buat selama-lamanya.
"Justeru, saya menyeru kerajaan-kerajaan negeri mengambil tindakan untuk mewartakan kawasan habitat Harimau Malaya sebagai Hutan Simpanan Kekal atau Rizab Hidupan Liar," kata Perdana Menteri lagi.
Tambah Muhyiddin, kerajaan-kerajaan negeri telah bersetuju dan menerima Dasar Perhutanan Malaysia yang menggariskan hala tuju yang jelas kepada sektor perhutanan dalam mendepani cabaran-cabaran baharu di peringkat domestik dan antarabangsa.
Ia dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) ke-78 pada 29 Januari 2021 lalu, menyaksikan penyatuan julung kalinya semua negeri di Malaysia dalam bidang pengurusan perhutanan negara yang telah menjangkau usia 120 tahun.
"Saya ingin tekankan bahawa Dasar Perhutanan Malaysia ini adalah dasar kita bersama. Kita semua harus bertindak dan memainkan peranan yang lebih aktif sebagai ejen konservasi dan penggerak pembangunan sosioekonomi negara.
"Saya berharap agar usaha bersama kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam melaksanakan kelima-lima objektif Dasar Perhutanan Malaysia akan terus padu bagi mencapai sasaran yang telah dihasratkan," kata beliau.
#Khazanah
#Muhyiddin Yassin
#Harimau Malaysia
#Malaysia Forest Fund MFF
#Hari Hutan Antarabangsa
#Dasar Perhutanan Negara
#Orang Asli