Dasar peralihan tenaga buka peluang pemain OGSE kembang, teroka pasaran baharu

Bernama
November 5, 2024 20:15 MYT
Nor Azmie berkata, dasar seperti Dasar Perubahan Iklim Negara 2.0 dan Pelan Hala Tuju Teknologi dan Ekonomi Hidrogen perlu bagi mewujudkan ekosistem yang kondusif. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Sektor perkhidmatan dan peralatan minyak (OGSE) perlu melihat dasar peralihan tenaga kerajaan yang kukuh sebagai peluang untuk berkembang dan meneroka pasaran baharu serta kerjasama dengan rakan kongsi antarabangsa, kata Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi Datuk Nor Azmie Diron.
Beliau berkata dasar seperti Dasar Perubahan Iklim Negara 2.0 dan Pelan Hala Tuju Teknologi dan Ekonomi Hidrogen adalah perlu bagi mewujudkan ekosistem yang kondusif dalam usaha peralihan Malaysia kepada ekonomi rendah karbon.
"Dasar ini bertujuan menangani keperluan syarikat menguruskan sumber mereka dan mengenal pasti peluang untuk pertumbuhan.
"Saya menggalakkan anda semua untuk melihat perkembangan ini sebagai peluang mengembangkan perniagaan anda, memasuki pasaran baharu dan bekerjasama dengan rakan kongsi antarabangsa," katanya dalam ucaptama pada Forum Pelan Tindakan OGSE Kebangsaan 2024 di sini hari ini.
Ucapan Nor Azmie dibaca oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Makro) Kementerian Ekonomi Datuk Luqman Ahmad.
Nor Azmie dalam pada itu berkata kerajaan menyedari bahawa untuk mencapai matlamat yang diinginkan, dasar ini perlu disertai inisiatif ketara yang dapat menghasilkan kesan limpahan seterusnya memberikan hasil yang mampan untuk ekonomi.
Justeru itu, bagi sektor OGSE khususnya, Kementerian Ekonomi akan bekerjasama dengan agensi pembangunan sektor itu, Perbadanan Sumber Petroleum Malaysia (MPRC), untuk menyesuaikan inisiatifnya dengan dasar dan aspirasi kerajaan mengikut keperluan sektor itu, katanya.
Nor Azmie turut menekankan bahawa perjanjian perdagangan bebas seperti Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), serta status baharu Malaysia sebagai negara rakan BRICS, akan memberi kesan kepada landskap perniagaan.
Memandang ke hadapan, beliau berkata Rancangan Malaysia Ke-13 2026-2030 akan datang dan Belanjawan 2025 yang dibentangkan baru-baru ini akan mengukuhkan lagi komitmen kerajaan terhadap masa depan tanpa karbon, mewujudkan implikasi kepada industri minyak dan gas, tenaga serta rantaian bekalan OGSE.
-- BERNAMA
#BRICS #Belanjawan 2025 #OGSE #rakan kongsi
;