Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030 jadi rujukan utama - NADMA
Bernama
Oktober 9, 2024 04:30 MYT
Oktober 9, 2024 04:30 MYT
PUTRAJAYA: Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030 bakal menjadi rujukan utama dalam menyediakan panduan pengurusan risiko bencana di peringkat nasional, tempatan serta merentasi sektor secara menyeluruh.
Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, dasar berkenaan menggariskan empat prinsip, lima teras strategik, enam sasaran utama dan tindakan untuk diguna pakai pihak berkepentingan.
Dasar yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada 3 Okt itu boleh diguna pakai antaranya oleh Kerajaan Persekutuan dan negeri, pihak berkuasa tempatan, sektor swasta dan masyarakat sebagai panduan serta rujukan utama supaya dapat memainkan peranan masing-masing dengan lebih relevan serta berkesan.
"Matlamat utama dasar ini menjadikan Malaysia sebuah negara selamat dan berdaya tahan bencana dengan mengarusperdanakan pengurangan risiko bencana yang komprehensif dan inklusif ke arah kesejahteraan rakyat serta pembangunan yang mampan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030 digubal selari dengan instrumen global iaitu Kerangka Kerja Sendai bagi Pengurangan Risiko Bencana 2015-2030.
"Ini jelas mencerminkan komitmen kerajaan dalam memenuhi agenda global untuk mengarusperdanakan pengurangan risiko bencana dan sekali gus membentuk Malaysia yang selamat dan berdaya tahan bencana melalui pencegahan, mitigasi, kesiapsiagaan, tindak balas dan pembinaan semula.
"Dasar ini juga menerapkan aplikasi sains dan teknologi kerana ia amat penting dalam menyokong proses membuat keputusan," katanya.
Khairul Shahril berharap semua pihak berkepentingan merangka Pelan Tindakan Pengurangan Risiko Bencana peringkat masing-masing dengan memperincikan aktiviti yang akan dilaksanakan, anggaran belanjawan dan sasaran khusus berdasarkan Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030.
"Pelan tindakan ini harus disemak semula dan dikemas kini secara berkala untuk memantau kemajuan aktiviti-aktiviti yang akan dilaksanakan.
"Platform Nasional Pengurangan Risiko Bencana (MyDRR) akan menjadi medium untuk semua pihak berkepentingan melaporkan aktiviti DRR mengikut skop dan tanggungjawab masing-masing," katanya.
- BERNAMA