Dasar Pengguna Negara akan ditambah baik, tangani isu kos sara hidup - Fuziah Salleh

Rahimah Abdullah
Mac 22, 2023 14:30 MYT
Kerajaan akan menambah baik Dasar Pengguna Negara dalam usaha menangani isu kos sara hidup di negara ini. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menambah baik Dasar Pengguna Negara dalam usaha menangani isu kos sara hidup di negara ini.
Sehubungan itu, kata Timbalan Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh, satu kajian berkaitan telah dilakukan dan dijangka selesai tahun ini.
"Jadi semua elemen yang saya sampaikan tadi iaitu pengguna bijak, hak pengguna, urus niaga beretika, langkah menstabilkan kos sara hidup, peranan persatuan pengguna, serta Majlis Penasihat Pengguna Negara yang telah dikenal pasti untuk dimasukkan dalam penambahbaikan dalam Dasar Pengguna Negara.
"Kita harap Dasar Pengguna Negara 2.0 akan selari dengan Hala Tuju Kementerian dan Konsep Malaysia Madani," katanya sebagai menjawab soalan Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee di Dewan Rakyat pada Rabu.
Dalam pada itu, ujar Fuziah lagi, kedayaupayaan pengguna pada ketika ini masih belum di tahap yang diinginkan.
"Jadi tentu sekali kita teliti semua mengenai amalan terbaik. Kita 'benchmark' amalan terbaik oleh negara-negara lain juga," tambah beliau.
Selain itu, beliau juga bersetuju dengan cadangan Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden untuk menjadikan pendekatan secara Islam melalui fiqh aulawiyat bagi menilai tahap daya upaya pengguna.
"Cadangan YB itu boleh dijadikan sebagai garis panduan juga dalam kita menilai tahap kedayaupayaan pengguna," katanya.
#Fuziah Salleh #kos sara hidup #Dasar Pengguna Negara #Majlis Penasihat Pengguna Negara
;