Dasar Pengguna Negara 2.0 dilancar suku ketiga 2024
Ridauddin Daud
Februari 20, 2024 15:58 MYT
Februari 20, 2024 15:58 MYT
PUTRAJAYA: Dasar Pengguna Negara 2.0 (DPN 2.0) dan Pelan Tindakan Kepenggunaan 2030 dijangka dilancarkan pada suku ketiga tahun ini.
Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kerangka untuk dasar tersebut sudah ada dan kini sedang menunggu syor serta cadangan daripada pemegang taruh untuk diteliti sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri.
Tambah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu, selepas lebih dua dekad, sudah tiba masanya dasar terdahulu ditambah baik dengan mengambil kira situasi ekonomi, tuntutan semasa dan keperluan agenda kepenggunaan.
“Melalui DPN ini, tiga perkara teras yang ingin kita lihat adalah daripada aspek penglibatan rakyat.
“Kedua, aspek perundangan dan penguatkuasaan dan ketiga, aspek pendidikan nilai kepenggunaan.
“Ini adalah tiga komponen penting sebab kta mahu DPN ini kelak bukan hanya merupakan satu dasar kerajaan tapi merupakan dasar yang akan digerakkan secara 'whole of nation'.
“Ia juga adalah milik kepada NGO, milik kepada para pemegang taruh supaya mereka dapat bergerak bersama kerajaan seterusnya menjayakan dan melaksanakan DPN ini,” katanya.
Selain itu, katanya, antara perkara ditambah baik adalah berkaitan perniagaan dalam talian, penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi seumpamanya.
Menurutnya, elemen tersebut akan diteliti dan KPDN akan mengkaji sama ada perlu menambah akta baharu atau menambah baik akta sedia ada bagi mengawal selia aspek tersebut.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas selesai Sesi Dialog Prakarsa Pendayaupayaan Pengguna (3P-KPDN) di Putrajaya pada Selasa.
Tambah beliau, penggubalan dokumen dasar tersebut turut akan melalui dasa Analisis Impak Peraturan (RIA) yang diselia Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).
Tegasnya, fasa itu penting bagi memastikan hasil, matlamat dan sasaran penambahbaikan terhadap dasar tersebut dapat mencapai objektif dengan sebaiknya.