Dasar pengecualian visa sepihak tepat pada masanya - Komuniti perniagaan China
Bernama
November 25, 2023 05:00 MYT
November 25, 2023 05:00 MYT
KUALA LUMPUR: Komuniti perniagaan dari China melihat pelaksanaan dasar pengecualian visa sepihak bagi pemegang pasport biasa dari Malaysia sebagai tepat pada masanya memandangkan ia mampu meningkatkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Zhong Yuan Bio-Technology Holdings Limited Tina Chang yang berasal dari Beijing menyifatkan ia berita baik buat rakyat kedua-dua negara sekali gus memudahkan akses bagi rakyat Malaysia dan mengukuhkan peluang perniagaan.
"Lazimnya, banyak dokumentasi diperlukan untuk perjalanan (ke China)... menerusi dasar ini, rakyat Malaysia tidak perlu lagi menempuh proses yang panjang bagi mendapatkan visa.
"Saya telah mendapat beberapa kenalan rakyat tempatan di sini (Malaysia) dan kami sedang membincangkan kemungkinan usaha sama dua hala, jadi saya amat berharap kerajaan China meneruskan dasar pengecualian visa sepihak ini sebagai dasar yang kekal pada masa hadapan," katanya.
Chang ditemui Bernama pada Forum Kesihatan Makro Usahawan Malaysia-China 2023 anjuran Forever GACC di sini pada Sabtu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Teknologi Baofeng Biotechnology (Beijing) Co Ltd Dr Chen Xian Yang berpendapat dasar pengecualian visa sepihak itu akan membuka lebih banyak peluang penyelidikan dan menggalakkan pertukaran saintis antara kedua-dua negara khususnya dalam aspek kesihatan awam.
"Hal ini seterusnya menyumbang kepada kemajuan ekonomi dan masyarakat lebih teguh.
"Pada masa sama, dasar ini juga membolehkan lebih banyak forum seumpama ini dianjurkan lebih kerap, sama ada di China atau sebaliknya, menjadikan proses pertukaran dan perbincangan perniagaan lebih cepat dan lancar," katanya.
Kerajaan China pada Jumaat mengumumkan melaksanakan dasar pengecualian visa sepihak bagi pemegang pasport biasa dari Malaysia dan lima negara lain secara percubaan mulai 1 Dis 2023 hingga 30 Nov 2024.
Negara lain termasuk Perancis, Jerman, Itali, Belanda dan Sepanyol, menurut Xinhua memetik kenyataan Kementerian Luar China menerusi media sosial.
Sepanjang tempoh itu, pemegang pasport biasa dari enam negara boleh memasuki China tanpa visa untuk urusan perniagaan, pelancongan, melawat keluarga dan rakan serta transit tidak lebih dari 15 hari.
-- BERNAMA