Dasar penetapan harga petrol, diesel tidak berubah - KPDNHEP

Astro Awani
Jun 10, 2020 19:30 MYT
Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, penetapannya masih melalui Mekanisme Harga Automatik (APM) yang dipengaruhi harga minyak yang diproses selari dengan harga minyak mentah dunia. - Gambar BERNAMA
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menegaskan tiada perubahan dari segi dasar penetapan harga jualan runcit petrol dan diesel di Malaysia.
Menterinya, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, penetapannya masih melalui Mekanisme Harga Automatik (APM) yang dipengaruhi harga minyak yang diproses selari dengan harga minyak mentah dunia.
Menurutnya, sejak 30 Mac 2017, harga ditetapkan secara mingguan dan dikuatkuasakan melalui warta di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Runcit Maksimum bagi Petrol dan Diesel) di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
“Tujuan pewartaan adalah untuk menguatkuasakan kawalan harga jualan runcit petrol dan diesel oleh syarikat minyak dan pengusaha stesen minyak agar tidak melebihi harga yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan.
“Begitupun, mulai 29 Februari 2020, KPDNHEP telah menukar mekanisme penguatkuasaan kawalan harga jualan runcit petrol dan diesel melalui Surat Arahan Pengawal Bekalan di bawah Peraturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Perubahan mekanisme itu bertujuan untuk meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan dan pemantauan di peringkat KPDNHEP sekiranya terdapat sebarang pelanggaran arahan di bawah akta yang berkuat kuasa,” katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.
Tambah beliau, kementerian memandang serius laporan media mendakwa warta di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Runcit Maksimum bagi Petrol dan Diesel) di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 telah dibatalkan.
Dalam pada itu, KPDNHEP komited memastikan pematuhan semua syarikat minyak dan pengusaha stesen minyak terhadap harga yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan.
“Mengambil kira trend semasa harga minyak mentah dunia, Kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” ujarnya.
Sebelum ini, sebuah portal melaporkan Warta Kerajaan Persekutuan terbaru berhubung penetapan harga petrol dan diesel tidak lagi menyebut tentang harga siling atau harga runcit maksimum untuk petrol dan diesel.
Menurut laporan itu lagi, warta bertarikh 3 Jun itu sekadar memaklumkan pembatalan harga siling itu adalah berdasarkan kuasa yang diberikan oleh Seksyen 4, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723), Pengawal, dengan kelulusan menteri.
#Datuk Alexander Nanta Linggi #diesel #harga minyak #Kementerian Kewangan #kerajaan #KPDNHEP #Malaysia #Media #menteri #minyak #petrol #rakyat
;