Sokongan serta bantuan kerajaan terhadap sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil telah menyebabkan golongan minoriti yang lain terabai.

Pandangan itu dilontarkan bekas hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Noor Abdullah yang turut menyifatkan perkara itu sebagai ‘melanggar perlembagaan’.

Menurutnya Dasar Pendidikan yang ada sekarang, melanggar Perkara 8 dan Perkara 12 Perlembagaan Persekutuan yang menyebut tentang kesamarataan dan tidak berlaku diskriminasi terhadap pendidikan masing-masing.

Mohd Noor berkata kerajaan telah menjadikan masyarakat Cina dan Tamil "istimewa" dengan hanya memberi sokongan kepada sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil, Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK), tetapi tidak bahasa etnik lain.

"Bagaimana pula dengan bumiputera di Sabah dan Sarawak? Kerajaan tidak menubuhkan atau membantu menubuhkan SJK Telegu, Malayalam, Punjabi, Urdu, Siam dan sebagainya," kata Mohd Noor, yang mengatakan bahawa Orang Asli sepatutnya lebih istimewa daripada semua masyarakat lain.

"Guru-guru sekolah Cina dan Tamil, guru besar dan kakitangan yang dilantik dan dibayar gaji dengan dana kerajaan, tetapi tidak untuk masyarakat lain."

"Kerajaan memperoleh tanah dan memperuntukkan wang awam untuk kedua-dua masyarakat tetapi tidak kepada kaum lain."

Beliau menjelaskan bahawa Perkara 12 melarang diskriminasi terhadap rakyat atas alasan bangsa dalam pentadbiran institusi pendidikan awam, dan menurutnya sistem pendidikan sekarang ‘menghina Perlembagaan’.

Menyifatkan dasar pendidikan sebagai ‘zalim’ dan tidak ‘adil’, Mohd Noor, yang secara berseloroh menggelar dirinya ‘Hakim Perpaduan’, berkata status sekolah-sekolah vernakular perlu dikaji semula demi perpaduan negara.

Mohd Noor hari ini telah mencadangkan kepada kerajaan supaya sekolah-sekolah vernakular dijenamakan semula menjadi sekolah kebangsaan, yang menjadikan bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia wajib tetapi memberikan pilihan untuk belajar bahasa lain.

"Kami tidak membunuh bahasa ... kami meminta supaya semua orang diberi peluang untuk belajar bahasa. Kami tidak menghapuskan sekolah-sekolah.

"Penjenamaan boleh memecah-belahkan. Guru-guru dan sekolah-sekolah masih boleh kekal di sana tetapi nama vernakular boleh digugurkan,” katanya.

Kata beliau lagi, cadangan lain ialah menjadikan sekolah-sekolah vernakular ditukar menjadi 'sekolah untuk pengajian rantau timur.'

Bulan lepas, Mohd Noor mencetuskan kontroversi apabila beliau mengisytiharkan bahawa usaha-usaha perlu dibuat untuk mengekalkan kuasa politik Melayu dan meningkatkan penguasaan ekonomi orang Melayu kepada 67%.