Dasar pendidikan Sarawak tidak bezakan kaum - Abang Johari

Bernama
Julai 11, 2024 20:15 MYT
ABANG JOHARI: Ekonomi kita mesti bertaraf tinggi supaya tidak berlaku hijrah cendekiawan; kemudian pelajar kita akan bekerja dalam ekonomi baharu ini berdasarkan pengetahuan mereka. - Gambar fail/BERNAMA
MIRI: Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini berkata kerajaan Sarawak tidak mengamalkan dasar membezakan kaum dalam pendidikan malah menyalurkan bantuan kepada semua sekolah bagi memastikan rakyat mendapat pendidikan sebaiknya.
Beliau berkata apa yang penting adalah menyediakan anak-anak negeri ini dengan pendidikan terbaik tanpa mengambil kira sama ada melalui sekolah Cina, sekolah awam atau sekolah antarabangsa.
"Dasar pendidikan kita tidak memberikan penekanan berdasarkan kaum. Pendidikan mana ada kaum. Kepandaian itu tidak mengenal kaum dan kalau mahu pandai kita mesti belajar," katanya pada Majlis Perasmian SJK(C) Chiaw Nan di sini semalam.
Beliau berkata Sarawak mengorak langkah menerokai ekonomi baharu yang berteraskan teknologi tinggi dan anak-anak negeri ini harus dilengkapi dengan pengetahuan moden khususnya dalam pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
"Ekonomi kita mesti bertaraf tinggi supaya tidak berlaku hijrah cendekiawan. Kemudian pelajar kita akan bekerja dalam ekonomi baharu ini berdasarkan pengetahuan mereka," katanya.
Sarawak juga mengiktiraf Unified Examination Certificate (UEC) dan mereka yang mempunyai sijil itu boleh memohon memasuki institusi pengajian tinggi (IPT) milik kerajaan negeri jika gagal mendapatkan tempat di IPT lain di Malaysia.
Beliau berkata pengajian percuma di IPT milik kerajaan negeri yang bakal dilaksana pada 2026 akan menyediakan lebih banyak ruang kepada anak-anak Sarawak melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
-- BERNAMA
#hijrah cendekiawan #ekonomi baharu #pendidikan #Abang Johari Tun Openg