Dasar pemerkasaan bumiputera dijangka dibangunkan separuh pertama 2024 - Rafizi
Bernama
Februari 29, 2024 13:30 MYT
Februari 29, 2024 13:30 MYT
PUTRAJAYA: Satu set dasar-dasar berkaitan pemerkasaan bumiputera dijangka dibangunkan sekitar bulan Mei atau Jun tahun ini, hasil aspirasi daripada proses libat urus Kongres Ekonomi Bumiputera 2024.
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata proses libat urus telah pun berlaku yang diketuai wakil-wakil bukan kerajaan, dan turut digabungkan juga dengan pandangan pihak kerajaan.
"Insya-Allah kerajaan akan mengambil masa dalam dua, tiga bulan akan datang yang akan menjadi prosiding, perancangan dan pemantauan di peringkat majlis Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB), dan ia akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri.
"Kita ada garis masa menjelang Mei atau Jun, kita sudah ada satu set dasar-dasar bumiputera yang khusus," katanya kepada media pada hari pertama KEB 2024.
Beliau berkata dasar-dasar itu diharap dapat menghasilkan kumpulan kelas bumiputera yang positif, progresif dan inovatif, iaitu sejajar dengan tema KEB 2024.
Katanya di peringkat Kementerian Ekonomi, ia sedang membangunkan Akta Anti Ali Baba dan melalui KEB, hasrat akta berkenaan akan dikupas dengan lebih mendalam.
Semalam di dalam jawapan lisan kementerian itu di Dewan Rakyat, kementerian itu berkata kerajaan dalam proses melaksanakan kajian kerangka Akta Anti-Ali Baba dan menyasarkan akta itu dapat dibentangkan di Dewan Rakyat pada akhir 2024.
Sementara itu Rafizi hari ini berkata kerajaan berhasrat menyatukan syarikat bumiputera dan bukan bumiputera untuk bersama-sama bersaing di peringkat global.
"Kerajaan mahu memastikan satu ekosistem ke arah mewujudkan perkongsian pintar, yang dibentuk, supaya kelompok bumiputera yang benar-benar mahir serta bukan bumiputera yang mahir, dapat bekerjasama untuk menjadi syarikat Malaysia sebenarnya, boleh survive dan bersaing sekurang-kurangnya di peringkat serantau, namun diharapkan di peringkat antarabangsa.
"Jadi KEB pada kali ini memang dirancang ke arah itu. Saya akan tungggu reaksi. Akan ada (reaksi) yang bersetuju akan ada yang tak bersetuju.
"Mereka yang hanya melihat dari perspektif kaum masing-masing sudah tentu akan rasa tak cukup, tapi kita bukan lagi bersaing dalam kalangan kita sahaja sekarang, jadi kita perlu besarkan 'kek' ekonomi itu, supaya dengan 'kek' yang lebih besar ia memberi kita lebih kekuatan untuk bersaing dalam persekitaran yang amat mencabar. Kita perlu dapatkan perkongsian yang tulen dan pintar itu," katanya.
KEB yang bermula hari ini hingga 2 Mac di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, melibatkan pembentangan hasil dapatan daripada Sesi Libat Urus (SLU) meliputi 10 kumpulan.
Kumpulan ini meliputi Reformasi Pendidikan dan Modal Insan; Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Pilihan Kerjaya Utama, Pengukuhan Industri Halal, Pembangunan Desa dan Pemerkasaan Masyarakat Orang Asli; Penciptaan Kekayaan dan Penguasaan Korporat; Daya Saing Perusahaan Bumiputera; Penguasaan Teknologi Baharu; Felda dan Tanah Wilayah; Sosioekonomi Bumiputera Sabah serta Sosioekonomi Bumiputera Sarawak.
-- BERNAMA