Dasar Pandang ke Timur: PM gesa Malaysia-Jepun teroka kerjasama bidang baharu ESG

Hasimi Muhamad
Ogos 11, 2022 11:30 MYT
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia termasuk mempelbagaikan kerjasama dalam bidang krisis bencana, masyarakat menua, ekonomi digital, sains, teknologi dan inovasi serta pertumbuhan hijau - Foto fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan menggesa agar bidang-bidang kerjasama baharu berkaitan inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dapat diterokai oleh Malaysia dan Jepun melalui projek dan program yang dilaksanakan di bawah Dasar Pandang ke Timur (DPT).
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia termasuk mempelbagaikan kerjasama dalam bidang krisis bencana, masyarakat menua, ekonomi digital, sains, teknologi dan inovasi serta pertumbuhan hijau.
Teks ucapan Perdana Menteri dibaca oleh Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika merasmikan Seminar Perniagaan bagi memperingati ulang tahun ke-40 DPT antara Malaysia dan Jepun, hari ini.
"Menurut Laporan Risiko Global Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2022, isu-isu seperti perubahan iklim, kesan sosial populasi yang semakin menua dan polarisasi sosial selepas pandemik COVID-19 dijangka memberi kesan serius terhadap ekonomi dan mata pencarian kebanyakan negara dunia dalam tempoh 10 tahun akan datang.
"Pada masa yang sama, pelaksanaan DPT juga menitikberatkan limpahan faedah yang seimbang kepada kedua-dua buah negara termasuk melalui keupayaan Malaysia meningkat kerjasama dalam pembangunan industri Halal dengan Jepun.
"Malaysia sebagai pelopor dalam industri Halal global pastinya dapat membantu Jepun yang mempunyai minat yang tinggi membangunkan industri halalnya," kata Perdana Menteri dalam kenyataan tersebut, di sini.
Perdana Menteri menambah, Malaysia-Jepun juga disarankan meneroka kerjasama bagi menangani isu berkaitan rantaian bekalan melalui platform DPT.
Cabaran global, kata Ismail Sabri diharap menjadi pencetus kepada pembentukan kerjasama DPT bagi kepentingan bersama kedua-dua negara termasuk dalam bidang-bidang dan projek-projek baharu.
Langkah itu ujarnya sebagai usaha merancakkan aktiviti perdagangan agar ekonomi kembali pulih dengan cepat.
"Pencapaian kerjasama yang melangkaui lebih empat dekad antara Malaysia dan Jepun kini lebih tertumpu kepada bidang baharu selaras dengan revolusi teknologi yang telah memberi perubahan kepada landskap perindustrian dan ekonomi global.
"Kerjasama dalam bidang-bidang seperti kecerdasan buatan, robotik, autonomous system, dan internet pelbagai benda yang menyaksikan Jepun mempunyai kepakaran yang tinggi, perlu dipertingkatkan.
"Ini akan dapat menjamin kemampanan DPT untuk tahun-tahun yang mendatang. Oleh itu, saya berharap kerajaan Jepun akan memberikan sokongan padu yang berterusan bagi menggalakkan lebih banyak kerjasama dalam bidang berkenaan melalui pelaksanaan projek-projek usaha sama di bawah DPT," katanya lagi.
DPT yang diperkenalkan pada 1982, tambah Perdana Menteri memberikan sumbangan kepada pembangunan modal insan, perkongsian kepakaran dan pemindahan teknologi terutamanya dalam sektor perkilangan dan perindustrian di negara ini
Bahkan, katanya perkembangan sektor perindustrian Malaysia sejak era tahun 1980-an merupakan hasil kerjasama erat kedua-dua negara melalui pelaksanaan DPT yang kini diperkasakan dengan pengenalan DPT 2.0 pada tahun 2013.
"Pelaksanaan DPT 2.0 telah membuka ruang dan peluang kepada Malaysia dan Jepun untuk meneroka kerjasama dalam sektor baharu, yang menjadi keutamaan dan memberikan manfaat bersama.
"DPT 2.0 ini menjurus kepada bidang pelaburan dan perdagangan, pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pembangunan teknologi dan infrastruktur, di samping mengekalkan teras pembangunan modal insan.
"Justeru, saya amat berbangga bahawa hubungan ekonomi dua hala yang erat ini dimanifestasikan melalui peningkatan dalam jumlah perdagangan dua hala yang memberangsangkan sejak dasar ini diperkenalkan," kata Perdana Menteri.
Jepun merupakan rakan dagang keempat terbesar dan menjadi antara sumber pelaburan asing yang utama bagi Malaysia.
#Dasar Pandang ke Timur #ismail sabri yaakob #hubungan Malaysia-Jepun #ESG Malaysia dan Jepun
;