Dasar Pandang ke Timur berjaya, perlu kekal jadi asas strategi pembangunan Malaysia - Tun Mahathir
Hasimi Muhamad
Mei 18, 2022 18:25 MYT
Mei 18, 2022 18:25 MYT
KUALA LUMPUR: Dasar Pandang Ke Timur telah berjaya dan harus kekal sebagai asas kepada strategi dan program pembangunan Malaysia, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menurut bekas Perdana Menteri itu, dasar berkenaan memainkan peranan penting dalam perindustrian Malaysia dan memberi sumbangan yang ketara kepada pertumbuhan ekonomi secara menyeluruh.
Justeru, Dr Mahathir berharap akan wujud pendekatan yang lebih menyeluruh terhadap pendidikan di bawah Dasar Pandang Ke Timur dan meneliti sistem pendidikan Jepun dari peringkat pratadika hingga ke universiti.
"Apabila saya meninggalkan pejabat pada 2003, terdapat lebih 10,000 rakyat Malaysia dihantar ke Jepun di bawah program Dasar Pandang Ke Timur.
"Sehingga kini, jumlah itu telah meningkat kepada lebih 26,000 rakyat Malaysia.
"Saya berbangga kerana konsep ini telah berjaya. Ramai rakyat Malaysia yang dihantar ke Jepun telah melakukan yang terbaik apabila pulang ke tanah air.
"Namun jumlah rakyat Malaysia yang dihantar ke Jepun pada hari ini adalah jauh berbeza berbanding dahulu. Saya percaya kita boleh dan harus melakukan yang lebih baik," katanya ketika berucap dalam forum Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) sempena memperingati ulang tahun ke-40 Dasar Pandang Ke Timur pada Rabu.
Berucap lanjut, Ahli Parlimen Langkawi itu berkata ketika menjawat sebagai Perdana Menteri kali kedua, salah satu agenda utamanya adalah memastikan pemulihan Dasar Pandang Ke Timur 2.0 (LEP 2.0).
Bekas Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe dan beliau, katanya bersetuju bahawa Rangka Kerja Dasar Pandang Ke Timur 2.0 perlu diperluaskan dan diperhalusi skopnya melalui kerjasama untuk memastikan trend baharu dalam kerjasama dua hala agar ia kekal relevan.
"Kami bersetuju untuk mengaplikasi revolusi industri 4.0 (IR4.0) termasuk dalam sektor agroteknologi, industri automobil, pengurangan risiko bencana dan alam sekitar.
"Program Dasar Pandang Ke Timur 2.0 akan merangkumi program persediaan khas, program latihan Dasar Pandang Ke Timur 2.0, serta perkongsian penyelidikan sains dan teknologi," ujarnya lagi.
Selain itu, Dr Mahathir berkata banyak syarikat Jepun termasuk Matsushita, Mitsui, Toshiba, Mitsubishi, AEON dan Kao sama ada berpindah atau mengembangkan pangkalan pengeluaran mereka di Malaysia.
Dari 1986 hingga 1990, jelas beliau, Malaysia menyaksikan kemasukan besar-besaran pelaburan langsung asing (FDI) Jepun serta pertumbuhan dua angka dalam perdagangan dua hala, sekali gus mendorong Jepun mengatasi Amerika Syarikat (AS) sebagai rakan ekonomi utama Malaysia.
"Hari ini, terdapat hampir 1,500 syarikat Jepun beroperasi di Malaysia, dan menggaji lebih 400,000 rakyat Malaysia," katanya lagi.