Dasar mesra peniaga harap dapat gamit pelabur - Tun Mahathir
Harits Asyraf Hasnan
September 27, 2019 12:20 MYT
September 27, 2019 12:20 MYT
Dasar mesra pelabur yang diamalkan Malaysia sejak dahulu hingga kini diharap mampu menggamit pelaburan langsung asing (FDI) ke negara ini terutama dari Amerika Syarikat.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan baharu Malaysia amat mengharapkan pelaburan langsung asing supaya ekonominya dapat tumbuh dengan lebih pantas.
“Kami (Kabinet) menguruskan kewangan dengan agak baik. Kami jangka (Malaysia) akan mengalami bankrap, tapi kami tidak bankrap, dan (ekonomi) tumbuh 4.5 peratus setahun.
“Secara amnya, Malaysia masih Malaysia yang sama sepertimana pada satu masa dahulu yang amat mesra dengan golongan perniagaan, negara yang menggalakkan pelaburan langsung asing dan berkembang pada asas pelaburan seumpama itu sekaligus menangani masalah pengangguran,” katanya pada sesi perjumpaan dengan ahli Majlis Perniagaan Amerika Syarikat (AS)-ASEAN dan Dewan Perdagangan AS di sini pada Khamis.
Bagaimanapun, katanya khabar angin walau sekecil mana sekalipun telah menyebabkan para pelabur untuk menarik diri, sekaligus menjejaskan saham.
“Kami berharap lebih ramai (pelabur) akan melabur di Malaysia. Tapi malangnya, setiap khabar angin menyebabkan mereka menarik diri (daripada melabur).
“Ramai pelabur asing yang menarik diri dan pasaran saham jatuh, dan kami perlu memulihkannya.
“Pastinya, kami perlu nyatakan bahawa Malaysia kini dalam proses pemulihan semula. Kami telah lakukan perkara yang sewajarnya,” jelasnya.
Dr Mahathir berkata terdapat banyak pihak dalam kerajaan ketika itu terlibat amalan rasuah dan terpaksa diberhentikan.
Dan kini, katanya, situasi ekonomi semakin baik dan kerajaan telah berjaya mengurangkan jumlah wang yang dihutang kepada semua jenis pemberi hutang.
#Amerika Syarikat
#Astro Awani
#Berita Terkini
#FDI
#kabinet
#kerajaan
#Mahathir Mohamad
#MahathirUNGA
#Malaysia
#New York
#pelaburan
#pelaburan langsung asing
#Perdana Menteri