Dasar Luar Malaysia yang bebas dan berkecuali menguntungkan Malaysia - Penganalisis

Astro Awani
Ogos 21, 2022 09:40 MYT
Prof Ahmad Martadha Mohamad berkata, sebagai sebuah negara kecil yang tidak begitu kuat dari sudut ekonomi dan politik, Malaysia tidak boleh mewujudkan konflik dengan mana-mana negara terutama kuasa besar. - Foto fail
KUALA LUMPUR: Dasar bebas dan berkecuali diamalkan Malaysia di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebenarnya menguntungkan Malaysia.
Penganalisis politik, Prof Ahmad Martadha Mohamad berkata, sebagai sebuah negara kecil yang tidak begitu kuat dari sudut ekonomi dan politik, Malaysia tidak boleh mewujudkan konflik dengan mana-mana negara terutama kuasa besar.
Menurutnya, pendirian Malaysia yang menjalin hubungan baik dengan Amerika Syarikat dan China perlu diteruskan kerana ia memberi manfaat kepada negara.
BACA: Ismail Sabri serlahkan ciri baharu diplomasi Malaysia
“Walaupun mungkin ada pihak mengatakan bahawa kita perlu memilih sekutu tapi sebenarnya, sebagai sebuah negara kecil, Malaysia tidak mampu untuk memilih mana-mana negara jadi rakan dan mengetepikan negara lain.
“Walaupun Malaysia ada hubungan baik dengan Amerika Syarikat tapi Perdana Menteri terus membawa isu sejagat terutama isu berkaitan penindasan kepada masyarakat Palestin.
"Malaysia juga turut menekan supaya Amerika Syarikat beri perhatian terhadap isu seperti pergolakan di Myanmar.
“Jadi di rantau Asia Tenggara, Malaysia juga tidak berdiam diri dan terus berusaha untuk pastikan perdamaian dapat dicapai di Myanmar agar ia tidak ganggu-gugat kestabilan politik dan ekonomi di rantau ini,” katanya ketika bersiaran langsung dalam Buletin AWANI pada Sabtu.
Tambah beliau, dasar diamalkan Malaysia tidak menghalang negara untuk menyuarakan kebimbangan terhadap isu semasa namun pada masa sama menjaga hubungan baik dengan negara lain.
ASEAN55: Dasar tidak campur tangan perlu lihat keadaan semasa
Setakat ini, Ismail Sabri sudah mengadakan 12 kunjungan rasmi dan lawatan kerja keluar negara bagi mengukuhkan hubungan dua hala serta berbilang hala serta bagi memastikan suara Malaysia didengar di persada antarabangsa dan serantau.
Sama seperti perdana menteri sebelum beliau, Ismail Sabri melawat negara jiran bagi memperkenalkan diri bermula dengan Indonesia pada 9 hingga 11 Nov diikuti Singapura 29 Nov sebelum ke Thailand pada 23 hingga 26 Februari lalu.
Negara lain yang dikunjunginya ialah AS, Brunei, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jepun, Kemboja, Qatar, Turkiye dan Vietnam.
#dasar luar #China #ismail sabri yaakob #Ahmad Martadha Mohamad
;