Dasar luar Malaysia kekal meskipun jadi rakan BRICS
Bernama
November 6, 2024 16:45 MYT
November 6, 2024 16:45 MYT
KUALA LUMPUR: Dasar Luar Negara yang diamalkan Malaysia kekal bebas, berprinsip dan pragmatik, walaupun sudah menjadi rakan dalam gabungan BRICS baru-baru ini, kata Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin.
Beliau berkata Malaysia sebagai negara yang berdaulat, bebas untuk memilih apa juga organisasi yang ingin disertainya, tetapi mestilah berdasarkan pertimbangan yang terperinci dan mampu memberi manfaat kepada negara.
Selain itu, Mohamad berkata penyertaan Malaysia dalam BRICS adalah selari dengan pendekatan dasar luar iaitu mendukung multilateralisme atau hubungan pelbagai hala bagi menangani cabaran geopolitik dan juga ekonomi global.
"Kita sentiasa komited dalam usaha mengukuhkan hubungan dan kerjasama dengan negara asing, yang mampu untuk memberi manfaat dari segi pembangunan ekonomi, pelaburan serta hubungan dua hala dengan mana-mana negara sekalipun.
"Kita juga mendukung keluhuran undang-undang antarabangsa termasuk piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu," katanya menjawab soalan tambahan V. Ganabatirau (PH-Klang) berhubung jaminan urusan negara seperti politik, ekonomi dan kedaulatan negara tidak dicampuri oleh negara asing selepas Malaysia menyertai BRICS, pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.