Dasar Luar: Diplomasi kesihatan jadi antara fokus utama - Saifuddin
Harits Asyraf Hasnan
September 3, 2021 19:23 MYT
September 3, 2021 19:23 MYT
KUALA LUMPUR: Diplomasi kesihatan merupakan fokus utama pendekatan baru Kementerian Luar dalam memperkasa dasar luar Malaysia.
Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata perkara itu ditekankan Majlis Perundingan Dasar Luar Negeri (CCFP) yang bersidang buat pertama kali hari ini.
"Diplomasi kesihatan, perkara ini dibicarakan hari ini ketika ini di seluruh dunia. Namun, kita melihat ia bukan hanya bab vaksin.
"Ia melibatkan banyak topik yang lain seperti sains, kajian dan sebagainya termasuk perniagaan yang harus kita ambil kira," katanya dalam sidang media secara maya hari ini.
Beliau sebelum itu mempengerusikan mesyuarat pertama CCFP yang turut dianggotai 14 yang lain termasuk Timbalan Menteri Luar Negeri, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, dua pegawai kanan kementerian, serta 10 wakil daripada pelbagai bidang.
Antara perkara yang dibincangkan adalah kepentingan multilateralism di peringkat antarabangsa, diplomasi ekonomi, keselamatan siber, matlamat pembangunan lestari (SDG) dan diplomasi budaya.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan fokus pendekatan itu merupakan kesinambungan kepada dasar luar Malaysia yang tidak pernah berubah.
"Majlis Perundingan ini berfungsi sebagai satu wadah untuk menyalurkan pandangan serta input daripada anggotanya di dalam proses penggubalan dasar-dasar luar negeri yang berkait rapat dengan kepentingan negara.
"Penubuhan CCFP adalah selaras dengan pendekatan terbuka dan bersifat perundingan (Syura) di dalam proses penggubalan Dasar Luar Negeri," katanya.
Berikut senarai ahli-ahli CCFP:
1. YB Datuk Saifuddin Abdullah
Menteri Luar Negeri
2. YB Datuk Kamarudin Jaffar
Timbalan Menteri Luar Negeri
3. Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob
Ketua Ketiausaha, Kementerian Luar Negeri
4. Datuk Dr. Ahmad Faisal Muhamad
Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Geneva
5. Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood
Mantan Penolong Setiausaha Agung, Persekutuan Palang Merah Antarabangsa (IFRC)
6. Datuk Dr. Amirudin Abdul Wahab
Ketua Pegawai Eksekutif, CyberSecurity Malaysia (CSM)
7. Datuk Low Kian Chuan
Presiden, Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM)
8. Prof. Datuk Dr. Denison Jayasooria
Pengerusi Bersama, Malaysian CSO-SDG Alliance
9. Jerald Joseph
Pesuruhjaya, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM)
10. Fabian Bigar
Ketua Pegawai Eksekutif, Strategic Change Management Office (SCMO) for MyDigital
11. Herizal Hazri
Ketua Pegawai Eksekutif, Ketua Eksekutif Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia
12. Mahadzir Aziz
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC)
13.Dr. Dian Diana Abdul Hamed Shah
Profesor Madya, National University of Singapore (NUS)
14.Dr. Chee Yoke Ling
Setiausaha Agung, Third World Network (TWN)
15. Ahmad Fahmi Mohd Samsudin
Ketua Pegawai Eksekutif, Global Peace Malaysia