"Dasar lebih tegas perlu bagi halang pengeluaran khas KWSP termasuk pekerja p-hailing"
Rahimah Abdullah
Februari 18, 2023 19:06 MYT
Februari 18, 2023 19:06 MYT
KUALA LUMPUR : Keputusan Kerajaan untuk tidak meneruskan pengeluaran kali ketiga simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) disifatkan wajar demi masa depan golongan muda.
Exco Majlis Belia Malaysia, Fauzi Fadzil berkata, usaha itu perlu diteruskan dengan menguatkuasakan suatu dasar yang lebih tegas bagi menghalang pengeluaran khas KWSP termasuk membabitkan pekerjaan gig, sebelum tiba waktu sepatutnya.
"Ini menunjukkan tindakan kerajaan itu adalah tindakan yang benar kerana kalau kita ikutkan 60 peratus daripada mereka yang bekerja ini tidak ada simpanan langsung. Dalam 20 hingga 30 tahun lagi, tanpa simpanan tetap seperti KWSP dan sebagainya, ini akan bebankan kerajaan untuk menanggung golongan warga emas yang memerlukan bantuan kesihatan dan sara hidup.
"Oleh itu saya melihat dalam masa 20 hingga 30 tahun akan datang ini, dasar untuk menghalang pengeluaran KWSP terutama dalam p-hailing ini perlu dilaksanakan dengan lebih tegas," katanya kepada Astro AWANI pada Sabtu.
Mengulas lanjut, ujarnya, trend golongan muda membabitkan diri dalam pekerjaan gig terutama e-hailing dan p-hailing meletus pada 2020, namun menurun dari tahun ke tahun.
"Tahun 2020 dianggarkan ada 180,000 pekerja e-hailing dan p-hailing. Namun, kalau ikut statistik terkini ada lebih kurang 145,000 pekerja pada 2021 dan saya percaya tahun ini terus berkurangan," tambahnya.
Bagaimanapun, daripada kira-kira 15 juta belia di Malaysia, dilaporkan hanya satu peratus sahaja terlibat dengan industri p-hailing.
"Ini satu keadaan yang tidak begitu meresahkan dan masih dalam keadaan yang terkawal kerana industri perlu berkembang," katanya lagi.
Bagaimanapun, katanya, apa yang menjadi isu adalah apabila 75 peratus daripada jumlah belia yang terlibat dengan industri gig itu menjadikan pekerjaan p-hailing dan e-hailing sebagai pekerjaan utama.
Pekerjaan e-hailing dan p-hailing katanya, tidak sepatutnya menjadi pekerjaan utama, sebaliknya perlu dilihat sebagai satu pekerjaan alternatif.
"Pekerjaan gig iaitu e-hailing dan p-hailing ini tidak boleh menjadi pekerjaan utama kerana ia tidak ada latihan peningkatan kemahiran yang boleh meningkatkan tahap kerjaya mereka.
"Mereka hanya boleh mengawal pendapatan dan masa pekerjaan. Oleh itu, pekerjaan ini sebenarnya pekerjaan sampingan dan tidak boleh dijadikan pekerjaan utama," tegas Fauzi.
Dalam pada itu, Majlis Belia Malaysia turut mencadangkan agar caruman KWSP kalangan pekerja p-hailing dibuat secara automatik.
Fauzi berkata, ia berikutan langkah sedia ada oleh syarikat p-hailing untuk mewajibkan caruman KWSP kalangan pekerja gig itu pada ketika ini dilihat gagal mencapai matlamatnya.
"KWSP yang disediakan syarikat-syarikat p-hailing ini gagal mencapai matlamatnya sebabnya 77 peratus tidak mencarum KWSP, namun 72 peratus mencarum dalam Perkeso. Ini menunjukkan daya pemikiran mereka dalam kesedaran jangka masa pendek sebab mereka mahu bantuan jika kemalangan dan sebagainya.
"KWSP ini pula adalah untuk hari tua, dan 77 peratus tidak mencarum KWSP walaupun ia diwajibkan. Walaupun pihak syarikat membuka ruang, tetapi kalau belia tidak mencarum maka ia sia-sia sahaja.
"Di sini saya lihat kadang-kadang pendekatan fakta itu diperlukan di mana perlu diwajibkan atau secara automatik itu dicarum sebab kalau nak tunggu golongan belia itu carum, sudah 3 tahun berlalu, namun 77 peratus tak carum KWSP, dan menunjukkan tahap yang sangat bahaya untuk 20-30 tahun akan datang," ujarnya.