Dasar keselamatan baharu dilancar bagi mendepani cabaran lebih kompleks
Firdaus Azil
Oktober 3, 2019 11:22 MYT
Oktober 3, 2019 11:22 MYT
Dasar Keselamatan dan Ketenteraman Awam (DKKA) yang dilancarkan hari ini diwujudkan bagi memastikan Malaysia terus bersedia dalam menangani ancaman atau cabaran baik di peringkat domestik mahupun global, yang disifatkan lebih kompleks.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata ia bermatlamat menjadikan Malaysia sebuah negara yang berdaulat, aman, makmur dan dihormati di persada dunia dengan rakyatnya bersatu padu serta berupaya mempertahankan kepentingan nasional.
“Dasar ini dirangka sebagai panduan dan rujukan bagi mendepani pelbagai isu dalam sektor keselamatan dan ketenteraman awam yang kian mencabar.
“Dasar ini juga akan melengkapi Dasar Keselamatan Negara (DKN) yang merupakan satu dasar payung dalam aspek keselamatan Negara,” katanya sewaktu berucap melancarkan dasar yang bertemakan “Keselamatan dan Ketenteraman Awam: Tanggungjawab Bersama”, di sini hari ini.
DKKA menggariskan enam teras dan 21 strategi utama, sebagai panduan dan rujukan bagi semua pihak berkepentingan bagi mendepani pelbagai isu dalam sektor keselamatan dan ketenteraman awam yang kian mencabar, kata Perdana Menteri lagi.
“Dasar Keselamatan dan Ketenteraman Awam ini merangkumi semua aspek dari pemeliharaan kelangsungan perlembagaan dan institusi agama, bangsa dan tanah air; pengukuhan keselamatan sempadan; menjamin keselamatan dan ketenteraman awam; memerangi ancaman dadah; dan melindungi aset dan sasaran penting Negara.
“Dengan adanya dasar ini juga, saya juga berharap agar isu yang melibatkan pertindihan dasar dan pelaksanaan dapat diselaraskan semula,” kat Dr Mahathir.
#ancaman atau cabaran
#Dasar Keselamatan dan Ketenteraman Awam
#Dasar Keselamatan Negara
#DKKA
#DKN
#Mahathir Mohamad
#mempertahankan kepentingan nasional