Dasar kerja malam akan diperkenalkan bagi sektor 3D - Dr Mahathir
Bernama
Mei 2, 2019 04:00 MYT
Mei 2, 2019 04:00 MYT
Kerajaan bercadang melaksanakan dasar bekerja pada waktu malam khusus bagi sektor pekerjaan yang kurang mendapat sambutan daripada rakyat tempatan, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata ia merupakan langkah bagi menarik lebih ramai rakyat tempatan menyertai sektor terbabit (sektor 3D - dirty, dangerous, difficult) yang kini dikuasai rakyat asing menyebabkan pengeluaran hasil ke luar negara berbilion ringgit setiap tahun.
"Sebab itu kerajaan berusaha supaya kerja-kerja ini dapat dimudahkan... mungkin akan dibuat dasar bekerja pada waktu malam atau bekerja dalam bangunan..tidak terdedah kepada panas kerana bekerja pada siang hari terik dan tidak selesa. Dan dengan bantuan mesin.
"Tugas ini amat berat tapi tugas ini, yang kotor kita beri orang asing ambil alih kerja (kerana) kita tak mahu lakukan. Jadi mereka akan dapat upah yang banyak dan hantar ke negara asal hingga mencecah RM60 bilion (setakat ini). Ini merugikan dan memiskinkan kita," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Tautan Muhibah anjuran Biro Ekonomi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Segambut di Laman Zarlith, di sini, malam tadi.
Turut hadir isteri Perdana Menteri Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang juga Anggota Parlimen Segambut, Hannah Yeoh.
Dr Mahathir yang juga Pengerusi Bersatu berkata mungkin buat permulaan dasar itu tidak dapat diterima semua pihak kerana ia melibatkan perubahan waktu kerja yang di luar daripada kebiasaan.
"Memang la gelap (kerja waktu malam) tapi sekarang orang kaya boleh main golf pada waktu malam... lepas ini kita boleh tanam padi pada waktu malam, kita pasang lampu (spotlight), jadi boleh kerja dengan selesa (tanpa terik matahari), mungkin sukar terima, lama-lama biasa lah," katanya.
Katanya dengan langkah itu kerajaan dapat merealisasikan konsep 'shared prosperity' di mana lebih ramai rakyat akan memperoleh pekerjaan dan mendapat upah dengan usaha sendiri berbanding mendapat duit percuma bagi meraih sokongan rakyat seperti amalan kerajaan terdahulu.
"Ini antara rancangan dan dasar kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebab kita akan tentukan ramai rakyat yang dapat kerja dan upah yang setimpal.
"Amat hina jika dapat upah tanpa kerja... jika sebaliknya itu lebih mulia dan lebih halal. Kalau percuma mungkin punca dari sumber yang kurang baik.
"Kalau kita terima wang percuma kita akan lemah sebab bergantung kepada kerajaan. Sebaliknya kita nak ada peluang pekerjaan supaya rakyat dapat membiayai kehidupan mereka atas usaha sendiri," katanya.
-- BERNAMA
#dasar bekerja
#ekonomi
#Halal
#kerajaan
#kerja malam
#kotor
#Mahathir Mohamad
#Pakatan Harapan
#pekerja asing
#pekerjaan
#perubahan waktu kerja
#rakyat
#sektor 3D
#shared prosperity