Dasar kerajaan beri subsidi bersasar mampu tingkat capaian manfaat - Kelab Belia Prihatin
Bernama
Julai 18, 2022 04:20 MYT
Julai 18, 2022 04:20 MYT
KUALA LUMPUR: Dasar kerajaan dalam memberikan subsidi bersasar dilihat mampu meningkatkan capaian manfaat kepada golongan sasar yang kini terkesan akibat krisis inflasi yang berlaku di Malaysia.
Ketua Penerangan Kelab Belia Prihatin Rijal Rozman berkata melalui dasar itu, kerajaan dapat menyumbang kadar penjimatan kepada tabung kewangan negara.
"(Kelab) Belia Prihatin percaya dasar ini dapat dilaksana dan diselaraskan melalui satu pangkalan data berpusat yang menggabungkan semua agensi berkaitan seperti Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan agensi lain bagi membasmi kemiskinan," menurutnya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata agensi berkaitan dapat membantu kerajaan mengenal pasti golongan sasar yang sangat terkesan dan memerlukan.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata mekanisme sesuai bagi pelaksanaan subsidi bersasar sedang dirangka untuk memastikan peruntukan yang disalur oleh kerajaan dinikmati mereka yang benar-benar berhak.
Pada persidangan Parlimen hari ini, Perdana Menteri berkata pelbagai perkara perlu diperinci berhubung mekanisme itu supaya peruntukan kerajaan untuk membantu rakyat Malaysia tidak sewenang-wenangnya dinikmati oleh pihak yang tidak layak termasuk warga asing.
-- BERNAMA