Dasar Kabotaj Negara tidak kekang pelaburan asing - Ka Siong
Astro Awani
November 2, 2021 23:44 MYT
November 2, 2021 23:44 MYT
KUALA LUMPUR: Dasar Kabotaj yang dilaksanakan oleh kerajaan hari ini tidak mengekang pelaburan asing seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong menjelaskan terdapat keyakinan pelabur asing yang mahu memasuki negara ini dengan Dasar Kabotaj yang dilaksanakan.
Beliau juga menegaskan kerugian yang bakal dialami Malaysia seperti yang didakwa sesetengah pihak tidak dapat dibuktikan.
"Secara kesimpulannya saya nak bagitahu dasar kabotaj kita tidak mengekang pelaburan asing seperti yang didakwa sebelum ini.
"Kerugian yang dikatakan Yang Berhormat (Lim Guan Eng) tidak dapat dibuktikan dengan tepat, hanya dengar daripada Rais Hussin (Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff, bekas Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia)... itu sahaja.
"Kalau pemilik kata tidak ada masalah maka tidak ada masalah. Dari segi kesalinghubungan tidak ada isu. Apabila kabel putus, tidak isu.
"Yang menjadi masalah bila ada yang menjaga tepi kain orang. Kita kena cari tuannya, kalau tuannya mengatakan mereka datang ke Malaysia, maksudnya mereka yakin dengan dasar yang diputuskan Malaysia," katanya.
Ka Siong berkata demikian ketika berdebat dengan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng bagi membahaskan isu Dasar Kabotaj Negara, yang disiarkan secara langsung di Astro AWANI malam ini
Debat ini diadakan bagi membahaskan tindakan Ka Siong membatalkan pengecualian kabotaj kepada kapal asing yang terlibat dalam pembaikan kabel Internet dasar laut.
Sementara itu, Guan Eng yang menegaskan sesuatu dasar perlu menguntungkan rakyat dan dasar digital negara.
"Secara rumusannya, pentingnya sesuatu dasar ini boleh memberi manfaat kepada rakyat dan juga masa depan digital negara.
"Bukanlah kita membuat sesuatu dasar dengan ditawan kepentingan tertentu yang mana ia memanfaatkan individu tertentu sahaja.
"Saya berasa hairan kerana maklumat datang dari kerajaan, Dr Rais Hussin adalah orang kerajaan bukan ahli DAP atau Pakatan Harapan.
"Dr Rais orang kuat Bersatu dan Bersatu dalam kerajaan, kalau orang Kerajaan pun tak percaya, anda nak percaya siapa lagi?," soal Guan Eng.
Pengecualian tersebut merupakan dasar yang diperkenalkan Pakatan Harapan (PH) semasa mentadbir negara, tetapi dibatalkan Ka Siong pada tahun lalu selepas Perikatan Nasional (PN) mengambil alih Putrajaya.
Guan Eng dan beberapa pemimpin PH mengkritik Ka Siong dengan mendakwa keputusan itu menyebabkan gergasi teknologi menjauhkan diri dari Malaysia.
Ekoran pembatalan itu, Facebook, Google, Microsoft dan MyIX dikatakan merayu kepada Perdana Menteri ketika itu Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengembalikan pengecualian berkenaan.