Dasar, inisiatif bakal diumum dalam KSP RMKe-12 berpandukan keperluan, keutamaan rakyat - PM
Bernama
September 8, 2023 00:10 MYT
September 8, 2023 00:10 MYT
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dasar dan inisiatif yang bakal beliau umumkan pada Isnin semasa pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMKe-12) di Dewan Rakyat bukan sahaja dibentuk berdasarkan pemikiran di kementerian-kementerian.
Perdana Menteri berkata dasar dan inisiatif berkenaan juga berpandukan kepada permasalahan, keperluan dan keutamaan rakyat, komuniti perniagaan serta kesemua negeri.
"Saya yakin KSP RMK12 ini akan dapat memacu pertumbuhan Malaysia yang lebih seimbang dan mapan di masa hadapan," katanya menerusi catatan di Facebook malam ini.
Menurut Perdana Menteri, KSP RMK12 adalah satu lagi tindakan kerajaan dalam menjelmakan agenda ekonomi MADANI yang beliau usulkan.
"Ia adalah dokumen kebijakan yang signifikan dalam menentukan hala tuju pembangunan sosioekonomi negara yang seimbang dari segi pemikiran, spiritual dan material berteraskan nilai-nilai MADANI," katanya.
Terdahulu hari ini, Perdana Menteri telah menerima dokumen KSP RMK-12 daripada Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.
-- BERNAMA