Dasar Industri Agromakanan Negara perlu dirombak kurangkan kesan inflasi - Pakar
Raja Hisyam Raja Zaid
Januari 19, 2022 12:50 MYT
Januari 19, 2022 12:50 MYT
KUALA LUMPUR: Beberapa dasar berkaitan Industri Agromakanan Negara termasuk industri membabitkan minyak sawit perlu dirombak dalam mengurangkan lagi kesan buruk terhadap krisis tenaga kerja asing dan inflasi yang melanda negara ketika ini.
Menurut Pengerusi Eksekutif Igrow Nordin Abdul Malek, Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai tahap kebergantungan terhadap tenaga kerja asing yang tinggi.
Justeru jelasnya, adalah mustahil untuk kerajaan ketika ini mampu menanganinya krisis ini dengan segera.
“Kita tidak boleh untuk menghapuskan atau menghentikan 100 peratus serta-merta kebergantungan kepada pekerja asing. Tentunya tidak logik juga sekiranya kita katakan ia boleh dilakukan serta-merta.
“Tetapi kita perlukan satu perubahan drastik yang kita kena lakukan supaya dari semasa ke semasa kita oleh mengurangkanya.
"Antara yang kita oleh lakukan adalah dasar berkaitan pelaksanaan Agromakanan Negara dan dasar berkaitan dengan industri minyak sawit perlu kita rombak dan susun supaya kita dapat memiliki perancangan yang lebih efektif,” katanya kepada Astro AWANI.
Selain itu jelasnya negara perlu segera menggerakkan secara proaktif pelbagai kempen untuk menarik rakyat tempatan menyertai sektor pertanian.
“Ia termasuk ganerasi muda terutamanya. Oleh sebab itu kita perlukan langkah-langkah yang boleh menarik minat mereka bukan semata-mata dari sudut aspek kempen, tetapi juga kita perlu menyediakan insentif yang menarik untuk mereka,” katanya lagi.
Untuk memastikan lagi minat terhadap industri itu, pendidikan di peringkat awal termasuk di sekolah-sekolah perlu dilaksanakan.
“Sebenarnya kalau kita lihat dalam Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) di Kementerian Sumber Manusia, tidak sampai 2,000 pun yang melibatkan semua sektor pertanian dan perladangan. Jadi ini menunjukkan kita masih lemah untuk mencapai sasaran kita dan ini telah diakui oleh Ketua Audit Negara dalam Rancangan Malaysia Ke-11 bahawa kita gagal mencapai sasaran TVET,” jelasnya.