Dasar imigresen Trump untungkan pelancongan Malaysia - Nazri Aziz

Astro Awani
Februari 5, 2017 22:24 MYT
Walaupun mengalu-alukan kehadiran pelancong dari serata dunia ekoran sekatan tersebut, namun kerajaan Malaysia tetap akan mengambil langkah waspada menyaring kesemua mereka. - Gambar fail
Tindakan Amerika Syarikat (AS) menggantung kebenaran masuk warga dari tujuh negara majoriti Islam dan pelarian akan menguntungkan sektor pelancongan Malaysia.
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, beliau yakin tindakan yang telah mengundang rasa tidak puas hati pelbagai pihak itu akan membuatkan ramai pelancong khususnya yang beragama Islam memilih untuk melancong ke negara-negara Asia termasuk Malaysia.
“Apa yang berlaku sebenarnya untung kepada kita (Malaysia) sebab kalau dia tidak membenarkan orang-orang itu masuk sewenang-wenangnya mungkin ini mendatangkan perasaan tidak puas hati dengan mereka dan mereka akan ke Malaysia,” katanya selepas merasmikan Kelab Usahawanita Unggul Parlimen Padang Renggas di Lubok Merbau di sini hari ini.
Menurutnya lagi walaupun mengalu-alukan kehadiran pelancong dari serata dunia ekoran sekatan tersebut, namun kerajaan Malaysia tetap akan mengambil langkah waspada menyaring mereka.
“Kita check’ (saring) juga, tetapi kita tidaklah nampakkan kita anti orang-orang itu. Walau bagaimanapun saya rasakan itu hak dia (Presiden AS, Donald Trump), sebab setiap negara itu mempunyai hak siapa dia hendak benarkan masuk dan Malaysia juga amalkan itu juga sebenarnya. Apa yang Trump buat itu menunjukkan selama ini apa yang Malaysia buat semuanya itu betul iaitu kita mengutamakan Malaysia, ‘Malaysia first’. Jadi dia ikut kitalah, ‘America first’. Lantak dialah, dia tak bagi siapa masuk, itu negara dia,” katanya lagi.
Pihak mementerian juga katanya optimis sekatan tersebut juga tidak akan memberi sebarang kesan kepada sektor pelancongan negara.
Malah tambah beliau Malaysia telah meraih pendapatan sejumlah RM92 bilion pada 2016 hasil daripada perbelanjaan oleh pelancong asing di dalam negara ini sekaligus mencatatkan peningkatan 10 peratus berbanding 2015.
Dijangkakan angka itu akan bertambah bagi tahun 2017.
Perintah eksekutif Trump yang ditandatangani sebelum ini antara lain menggantung kemasukan pelarian dan menyekat visa pelancong dari tujuh negara iaitu Iran, Iraq, Libya, Somalia, Sudan, Syria dan Yaman.
#Amerika Syarikat #Donald Trump #nazri abdul aziz #perintah eksekutif
;