Dasar Gaji Progresif: KSM ketuai beberapa fungsi utama pelaksanaan

Bernama
Disember 2, 2023 16:27 MYT
Selain penyediaan garis panduan bagi majikan dan pekerja, Sivakumar berkata, pemantauan, penilaian dan koordinasi pembangunan juga akan dilaksanakan. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Komited terhadap model Dasar Gaji Progresif, Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan mengetuai beberapa pelaksanaan fungsi utama di bawahnya, termasuk mengadakan rundingan bersama pihak majikan dan kesatuan sekerja, kata Menterinya V. Sivakumar.
Selain penyediaan garis panduan bagi majikan dan pekerja, Sivakumar berkata pemantauan, penilaian dan koordinasi pembangunan, juga akan dilaksanakan.
"Bagi pembangunan sistem, KSM terlibat dalam proses pendaftaran, pemilihan dan pemantauan syarikat. Bagi peningkatan kemahiran pula, KSM akan melakukan verifikasi latihan, pemeriksaan kualiti latihan, pengawalseliaan, pengauditan dan koordinasi latihan.
"KSM juga akan menyediakan panduan kenaikan gaji tahunan melalui penyediaan cadangan kenaikan gaji tahunan," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli di Dewan Rakyat pada 30 Nov lepas membentangkan Kertas Putih Cadangan Dasar Gaji Progresif, dalam usaha memastikan pekerja mendapat gaji lebih tinggi seiring peningkatan produktiviti.
Ia mengandungi tiga mekanisme utama iaitu dilaksanakan secara sukarela, berteraskan insentif dan peruntukan yang disuntik kerajaan dan tanggungjawab pekerja dalam meningkatkan produktiviti.
Sivakumar berkata kerjasama antara KSM dan Kementerian Ekonomi dalam usaha pelaksanaan Dasar Gaji Progresif, akan meningkatkan taraf kehidupan pekerja berpendapatan rendah dengan memberikan upah yang lebih baik, yang akhirnya dapat menyumbang secara signifikan kepada pembangunan ekonomi Malaysia.
-- BERNAMA
#Dasar Gaji Progresif #Kementerian Sumber Manusia #V Sivakumar #majikan #Pekerja
;