Dasar Gaji Progresif: Insentif maksimum RM300 sebulan untuk pekerja syarikat terpilih - Rafizi
Firdaus Azil
November 30, 2023 16:24 MYT
November 30, 2023 16:24 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menyediakan insentif tunai mengikut kadar dan keperluan pekerja, dengan nilai maksimum RM200 dan RM300 sebulan selama 12 bulan masing-masing untuk peringkat permulaan (entry level) dan bukan permulaan (non-entry level).
Menteri Ekonomi Mohd Rafizi Ramli berkata, melalui Dasar Gaji Progresif, syarikat peserta projek rintis, khususnya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), layak menerima insentif tersebut sekiranya mereka membayar gaji pekerja pada kadar yang sama, atau melebihi cadangan panduan kenaikan gaji tahunan.
Katanya lagi, untuk tujuan tersebut, Kerajaan mengunjurkan dana permulaan RM20 hingga RM30 juta bagi satu syarikat peserta untuk tahun 2024, selepas mengambil kira perbezaan sektor, jumlah pekerja terlibat, serta kemampuan fiskal semasa.
“Peruntukan dana untuk pelaksanaan inisiatif di bawah Dasar Gaji Progresif akan disediakan oleh Kerajaan mengambil kira kemampuan kewangan Kerajaan.
“Insentif akan disalurkan berasaskan first come, first served, dengan mekanisme pembayaran akan diperhalusi untuk tidak membebankan syarikat bersaiz kecil, terutama PMKS,” katanya kepada sidang media di bangunan Parlimen, pada Khamis.
Ahli Parlimen Pandan itu berkata, untuk mendapat insentif itu, pekerja harus melibatkan diri dalam program latihan dan peningkatan kemahiran yang ditentukan oleh jawatankuasa-jawatankuasa terlibat termasuk membabitkan pembangunan dasar, pembangunan sistem, peningkatan kemahiran, dan panduan kenaikan gaji tahunan.
Dengan andaian pemberian insentif daripada Kerajaan sebanyak RM2 bilion, Rafizi berkata, Dasar Gaji Progresif dijangka memberi manfaat kepada 1.05 juta pekerja, dengan tambahan nilai keluaran dalam negeri kasar(KDNK) benar sebanyak RM3.3 bilion.
Selain itu Rafizi berkata, ia juga akan memberi tambahan kepada caruman KWSP sebanyak RM0.79 bilion, tambahan hasil cukai pendapatan sebanyak RM1.8 bilion dengan tambahan 37,529 orang pembayar cukai pendapatan baharu pada tahun pertama pelaksanaan.
Rafizi berkata, projek rintis tersebut akan bermula Jun 2024, dan apabila menjelang September, Kerajaan akan mempunyai gambaran yang lebih jelas tentang berapa jumlah simpanan, rasionalisasi, serta konsolidasi fiskal, sebelum menentukan dana bagi tahun seterusnya.
Terdahulu sewaktu membentangkan Kertas Putih Dasar Gaji Progresif di Dewan Rakyat, Rafizi berkata,ada tahun pertama pelaksanaan, cadangan had gaji ditetapkan untuk pekerja yang menerima gaji bulanan di bawah RM5,000, dan tidak kurang daripada gaji minimum.
Cadangan tersebut, jelasnya lagi, mengambil kira jumlah pekerja yang menerima gaji bulanan di dalam lingkungan RM1,500 dan RM4,999, merangkumi 66.6% atau seramai empat juta pekerja.
Had gaji yang ditetapkan itu jelasnya lagi, mampu memberi liputan yang cukup luas untuk pekerja swasta menerima manfaat daripada inisiatif tersebut.