Dasar Gaji Progresif akan jadi pelengkap kepada Dasar Gaji Minimum - Kementerian Ekonomi

Bernama
Oktober 16, 2023 05:45 MYT
Dasar Gaji Minimum adalah pendekatan secara sukarela yang mana majikan boleh mengadakan rundingan dengan pekerja sebelum memutuskan untuk menyertai dasar tersebut. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Dasar Gaji Progresif akan menjadi pelengkap kepada Dasar Gaji Minimum dan bukan bertujuan untuk menggantikannya, kata Kementerian Ekonomi.
Menurut kementerian itu, Dasar Gaji Minimum adalah pendekatan secara sukarela yang mana majikan boleh mengadakan rundingan dengan pekerja sebelum memutuskan untuk menyertai dasar tersebut.
"Dasar ini bertujuan untuk mengukuhkan lagi reformasi gaji pekerja di negara ini," kata Kementerian Ekonomi dalam jawapan lisan yang disiarkan di laman sesawang Parlimen semalam.
Kementerian tersebut berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) mengenai jumlah libat urus yang diadakan dengan pihak berkaitan untuk melaksanakan Dasar Gaji Progresif dan pendekatan digunakan dalam merealisasikan pelaksanaan dasar terbabit.
Menurutnya, sesi libat urus dengan pihak berkepentingan termasuk dengan kementerian/agensi kerajaan, majikan dan pekerja telah diadakan bermula dari Julai 2023 hingga September 2023 bagi mendapatkan maklum balas mengenai cadangan pelaksanaan Dasar Gaji Progresif.
"Sesi ini akan dilaksanakan secara berterusan untuk memastikan dasar ini diterima baik oleh semua pihak dan mencapai objektif untuk meningkatkan kadar gaji dan upah serta produktiviti pekerja serta tidak bercanggah dengan dasar perburuhan negara, terutama akta yang berkaitan pekerja," katanya.
-- BERNAMA
#Parlimen #Dasar Gaji Progresif #Dasar Gaji Minimum #Kementerian Ekonomi
;