Dasar fiskal tergugat kerana amalan rasuah - Pakar

Madiha Abdullah
Jun 3, 2022 09:45 MYT
Nungsari juga menjelaskan masalah berkaitan dasar fiskal akibat rasuah tidak terbentuk sehari dua. - Foto Khazanah Research Institute
KUALA LUMPUR: Kemampuan kerajaan dalam menguruskan situasi pasca pandemik COVID-19 dan kesan peperangan antara Rusia dan Ukraine, bergantung penuh kepada kemampuan kewangan dan fiskal kerajaan.
Pakar Ekonomi, Nungsari Ahmad Radhi berpendapat, banyak yang boleh dilakukan kerajaan namun tidak dapat dilaksanakan kerana kekangan fiskal, yang salah satunya, berpunca daripada amalan rasuah yang sudah berakar umbi dalam sistem pengurusan negara.
"Hasil daripada cukai, apabila ada rasuah ia akan terjejas, kutipan hasil terjejas, kecekapan kerajaan kutip hasil juga terjejas.
"Jika unjuran hasil yang patut diperoleh, sebagai contoh saiz ekonomi sekarang ialah RM1.6 trillion, kalau ikut angka itu kita boleh dapat kutip cukai RM300 bilion, tetapi apabila ada rasuah dalam sistem, kita tak akan dapat jumlah ini.
"Perbelanjaan terpaksa dikurangkan, itu kesan rasuah di sebelah hasil. Di sebelah perbelanjaan pula rasuah akan menjejaskan agihan, maknanya duit ada banyak ini, keperluan ada macam-macam, agihan ada kriteria dan syarat keutamaan, tetapi jika ada rasuah keutamaan ini semua lari," katanya ketika muncul dalam tembual khas di MACC.FM, Selasa lalu.
Tambahnya, jika pelaksanaan dasar fiskal tidak cekap, keperluan kerajaan berhutang akan berterusan dan akan tiba masanya kos pengurusan hutang akan semakin meningkat dan kos untuk keperluan lain semakin berkurangan.
"Kena sedar salah satu (kesan) ketidakcekapan dalam pelaksanaan dasar fiskal, 22 tahun Bajet yang dibentangkan, perbelanjaan melebihi hasil, maknanya 22 tahun kita overdraft.
"Kalau pada masa krisis seperti 2008 atau semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memang tidak boleh elak overdraft tetapi kita overdraft dari tahun 1998 sampai sekarang.
"Jadi kita mempunyai hutang terkumpul dan hutang perlu dibayar. Yang diperolehi daripada hasil cukai, ada komitmen tetap yang nak dibayar seperti bayar gaji jentera kerajaan dan pencen pesara, seterusnya bajet pengurusan hutang kerajaan," katanya lagi.
Dr Nungsari juga menjelaskan masalah berkaitan dasar fiskal akibat rasuah tidak terbentuk sehari dua, sebaliknya berpunca daripada amalan yang sudah bermula puluhan tahun lalu.
"Ini bukan masalah yang baru timbul, ini sudah wujud sejak bertahun dahulu.
"Kita tengok situasi di Sri Lanka yang diisytiharkan muflis, tetapi ia tidak berlaku kesan setahun dua lalu.
"Kita tidak boleh andaikan pertumbuhan ekonomi sentiasa naik, kerajaan akan sentiasa kutip hasil dan boleh meminjam, kalau kita tidak ambil langkah berhemah untuk tampal 'lubang-lubang' sepatutnya," tegasnya.
#Dr Nungsari Ahmad Radhi #Rasuah #fiskal #ekonomi
;