Dasar 4IR: Indeks Kesejahteraan Rakyat, Inovasi Global dijangka meningkat menjelang 2030
Fareez Azman
Julai 1, 2021 10:33 MYT
Julai 1, 2021 10:33 MYT
KUALA LUMPUR: Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara dijangka dapat meningkatkan Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia (MyWI) dan Indeks Inovasi Global menjelang tahun 2030.
Menurut Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, ia selepas usaha-usaha pembangunan teknologi yang dijalankan sebelum ini berjaya meningkatkan kedudukan Malaysia dalam Indeks Inovasi Global ke tangga ke-33 daripada 131 negara pada tahun 2020.
"Malah, dalam kalangan negara ASEAN, Malaysia berada pada kedudukan kedua di belakang Singapura.
"Dalam aspek kesediaan Malaysia dalam menerima guna teknologi, terutamanya teknologi digital, Malaysia berada pada kedudukan ke-26 daripada 63 negara dalam IMD World Digital Competitiveness Ranking 2020.
"Melalui pelaksanaan Dasar 4IR Negara, Indeks Kesejahteran Rakyat Malaysia (MyWI) disasarkan meningkat kepada 137.6 pada tahun 2030, berbanding 124.4 pada tahun 2018.
"Malaysia juga disasarkan untuk berada pada kedudukan 20 teratas dalam Global Innovation Index pada tahun 2030 serta mencapai peningkatan 30 peratus produktiviti merentas semua sektor berbanding pada tahun 2020," katanya pada Majlis Pelancaran Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin pada Khamis.
Ujarnya, sasaran dasar itu bagaimanapun tidak meminggirkan kepentingan integriti ekologi melalui penggunaan teknologi 4IR.
Justeru itu, Malaysia, katanya disasarkan mencapai kedudukan 50 teratas dalam Indeks Alam Sekitar pada tahun 2030.
Dalam pada itu, Menteri MOSTI, Khairy berpendapat kepesatan teknologi perlu disesuaikan dengan kehidupan manusia agar kekal relevan.
"Kepesatan teknologi tidak akan berakhir pada hari ini. Malah apa yang ada pada hari ini mungkin dilihat tidak lagi relevan dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.
"Dengan kata lain juga, kehidupan manusia akan sentiasa berubah seiring dengan peredaran masa.
"Dalam usaha memastikan pembangunan teknologi berfungsi sebagai pemboleh daya transformasi 4IR meliputi segenap aspek kehidupan dan industri, MOSTI juga sedang membangunkan beberapa dasar dan pelan hala tuju (roadmap) teknologi," katanya.
Ia merangkumi hala tuju pembangunan teknologi Elektrikal dan Elektronik, vaksin, blockchain, ekonomi hidrogen, teknologi nano, kecerdasan buatan, robotik, bahan termaju serta pembangunan dan penyelidikan (R&D), pengkomersialan, inovasi dan ekonomi.
#Khairy Jamaluddin
#Mustapa Mohamed
#ASEAN
#Singapura
#Perdana Menteri
#ekonomi
#rakyat Malaysia
#integriti
#Sains
#Malaysia
#vaksin
#Dasar 4IR
#kerajaan