Dasar 4IR bakal pacu Malaysia sebagai negara berteknologi
Fareez Azman
Julai 2, 2021 16:29 MYT
Julai 2, 2021 16:29 MYT
KUALA LUMPUR: Meningkatkan kualiti hidup dengan memanfaatkan kemajuan teknologi, keupayaan tempatan untuk menguasai 4IR dalam semua sektor dan menggunakan teknologi untuk pemeliharaan integriti ekologi.
Itu misi Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) yang dilancarkan kerajaan pada Khamis.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed menerusi Dasar 4IR Negara, kadar pengunaan teknologi 4IR yang bersifat disruptif akan dipertingkat dengan pendekatan keseluruhan negara.
"Dasar 4IR Negara akan menyediakan prinsip panduan utama dan hala tuju strategik kepada kementerian dan agensi dalam penggubalan dasar dan pelan tindakan bagi mengoptimumkan pengagihan sumber dan penyelarasan pelaksanaan dalam perkara berkaitan teknologi baru muncul yang akan memanfaatkan rakyat, sektor swasta dan awam.
"Dasar ini menyokong dasar-dasar pembangunan negara seperti Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) dan Rancangan Malaysia Lima Tahun.
"Ia juga melengkapi Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia dalam mendorong pembangunan ekonomi digital," jelas Mustapa.
Dari sudut strategi dan inisiatif pula jelasnya, Dasar 4IR Negara akan diurus tadbir oleh Majlis Ekonomi Digital dan 4IR Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Dasar yang mengandungi empat teras utama itu akan memanfaatkan tiga kumpulan utama iaitu masyarakat, perniagaan dan kerajaan.
Beliau menjelaskan, teras berkenaan melengkapi rakyat dengan pengetahuan dan set kemahiran 4IR, membentuk negara yang ada kesalinghubungan melalui pembangunan infrastruktur digital, menyediakan peraturan sesuai dengan keperluan masa depan agar fleksibel terhadap perubahan teknologi, serta mempercepatkan inovasi dan penerimagunaan teknologi 4IR.
Dasar negara yang menyeluruh itu merangkumi empat teras utama berupaya mempersiapkan rakyat dengan pengetahuan dan set kemahiran berkaitan 4IR, membina negara mempunyai ketersambungan melalui pembangunan infrastruktur digital.
Manakala dua lagi teras iaitu menyediakan peraturan yang sesuai dengan keperluan masa hadapan supaya fleksibel mengikut perubahan teknologi dan mempercepatkan inovasi dan penerimagunaan teknologi 4IR.
Malah, dasar 4IR jelas Mustapa, mampu memacu usaha bersepadu dalam mentransformasi pembangunan sosio ekonomi negara melalui penggunaan teknologi termaju 4IR dan sekali gus menyediakan hala tuju komprehensif dan menyeluruh dalam mempersiapkan Malaysia untuk menguasai dasar 4IR yang akan dibangunkan negara.
Dasar 4IR dilancarkan Mustapa dan Menteri Teknologi, Sains dan Inovasi, Khairy Jamaluddin pada Khamis.
#Muhyiddin Yassin
#Khairy Jamaluddin
#Mustapa Mohamed
#Perdana Menteri
#ekonomi
#integriti
#Sains
#Malaysia
#Dasar 4IR
#teknologi
#kerajaan
#blueprint
#ekonomi digital