Darurat yang diisytiharkan tidak jejaskan kehidupan rakyat - PM
Faris Danial Razi
November 18, 2020 19:23 MYT
November 18, 2020 19:23 MYT
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa darurat yang diisytiharkan di Bahagian Pilihan Raya Parlimen P.185 Batu Sapi, Sabah tidak akan menjejaskan kehidupan rakyat di Batu Sapi.
Ini kerana jelasnya, tindakan itu hanya bertujuan untuk membatal dan menangguhkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi demi melindungi nyawa rakyat.
“Kehidupan rakyat di Batu Sapi tidak akan terjejas dengan perisytiharan darurat ini.
“Tidak ada perintah berkurung atau pemerintahan ala tentera di Batu Sapi.
“Pentadbiran kerajaan, kegiatan ekonomi dan aktiviti sosial dapat diteruskan tertakluk kepada amalan norma baharu dan peraturan serta SOP di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat yang sedang berkuat kuasa di negeri Sabah,” jelasnya.
Muhyiddin pada masa sama memberi jaminan bahawa sebaik pandemik COVID-19 kembali reda, Pilihan Raya Kecil itu akan diadakan dengan secepat mungkin.
“Saya bagi pihak Kerajaan Perikatan Nasional ingin memberi jaminan bahawa apabila pandemik COVID-19 berakhir, PRK Batu Sapi akan diadakan dengan kadar segera.
“Ia tertakluk kepada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan. Apabila PRK diadakan kelak, para pengundi akan dapat melaksanakan hak demokrasi masing-masing dalam keadaan yang lebih selamat, aman dan tenteram,” tambahnya.
Beliau turut menitipkan doa agar langkah yang diambil oleh pihak kerajaan ketika ini dapat membendung wabak COVID-19.
“Saya berdoa ke hadrat Allah SWT mudah-mudahan langkah yang diambil oleh Kerajaan ini adalah satu hikmah yang dapat membantu membendung wabak COVID-19 dan melindungi nyawa rakyat,” jelasnya lagi dalam perutusan khas pada Rabu.
#Muhyiddin Yassin
#PM
#Perdana Menteri
#perintah kawalan pergerakan bersyarat
#perintah berkurung
#pilihan raya
#kerajaan
#pilihan raya kecil
#PRK Batu Sapi
#COVID-19
#pandemik
#SOP