Darurat Sarawak: Belanjawan negeri 2022 tetap boleh diluluskan - Speaker DUN

Shafik Ahmad
Ogos 4, 2021 18:13 MYT
Asfia berkata demikian susulan tiada persidangan DUN Sarawak akan diadakan sehingga proklamasi darurat di negeri itu ditamatkan atau diungkaikan selaras dengan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (Sarawak) 2021. - Foto Astro AWANI
KUCHING: Pembentangan Belanjawan Sarawak 2022 tetap boleh diluluskan tanpa mendapatkan kelulusan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.
Menurut Speaker DUN Sarawak, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, perkara itu katanya secara jelas dinyatakan dalam Seksyen 11 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (Sarawak) 2021.
“Seksyen 11 - Walau apa pun peruntukan dalam perlembagaan negeri Sarawak yang berkaitan dengan perbelanjaan yang dipertanggunjawabkan pada Dana Gabungan Negeri, setiap pengeluaran yang memerlukan ketetapan atau ketetapan Dewan Undangan Negeri, dan penarikan dari Dana Gabungan Negeri selama keadaan darurat berkuat kuasa, apa-apa perbelanjaan atau pengeluaran dari Kumpulan Wang Gabungan Negeri boleh dibuat dengan persetujuan Ketua Menteri atau Pihak Berkuasa Kewangan Negeri.
“Sebagaimana dengan cara yang mungkin diperuntukkan oleh undang-undang bertulis atau Arahan Perbendaharaan atau Pekeliling Perbendaharaan yang berkaitan dengannya untuk sementara waktu yang sedang berkuatkuasa,” katanya.
Dengan erti kata lain, jelas Asfia, Ketua Menteri atau Pihak Berkuasa Kewangan boleh meluluskan Belanjawan Sarawak 2022 tanpa melalui kelulusan menerusi persidangan DUN Sarawak.
Asfia berkata demikian susulan tiada persidangan DUN Sarawak akan diadakan sehingga proklamasi darurat di negeri itu ditamatkan atau diungkaikan selaras dengan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (Sarawak) 2021.
Katanya, tempoh DUN telah berakhir pada 6 Jun 2021 tetapi dilanjutkan dari 7 Jun 2021 sehingga 1 Ogos 2021 mengikut Seksyen 15 (1) (a) dan Seksyen 15 (1) (b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 sebelumnya.
“Dengan Darurat (Kuasa-Kuasa Penting) (Ordinan Sarawak) 2021, status DUN Sarawak diteruskan dari 2 Ogos 2021 hingga 2 Februari 2022.
“Seksyen 4 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (Sarawak) 2021 tidak membenarkan persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak untuk diadakan,” katanya pada sidang media di DUN Sarawak pada Rabu.
BACA: Proklamasi Darurat: Ordinan baharu khusus untuk Sarawak - Speaker DUN
BACA: COVID-19: Darurat di Sarawak hingga 2 Februari 2022
BACA: Proklamasi darurat di Sarawak diisytihar untuk elak penularan COVID-19 - PMO
Terdahulu Proklamasi Darurat yang berakhir pada Ahad, 1 Ogos 2021 akan diteruskan di Sarawak hingga 2 Februari depan.
Ia selepas satu proklamasi baharu telah dipersetujui Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, pada Khamis lalu dan diterbitkan dalam warta kerajaan pada Jumaat, 30 Julai.
#Darurat Sarawak #DUN Sarawak #Pilihan Raya Negeri ke-12 #Mohamad Asfia Awang Nassar #Belanjawan Sarawak 2022 #Proklamasi Darurat
;