Darurat: PH hantar tiga nama untuk Jawatankuasa Khas Bebas

Firdaus Azil
Januari 21, 2021 11:25 MYT
Tiga wakil tersebut ialah Saifuddin Nasution Ismail (Kulim-Bandar Bharu), Anthony Loke (Seremban), dan Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor).
KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) hari ini bersetuju menghantar tiga nama wakil untuk menyertai penubuhan Jawatankuasa Khas Bebas berhubung Proklamasi Darurat.
Dalam satu kenyataan hari ini, Majlis Setiausaha PH berkata penyertaan pembangkang ke dalam jawatankuasa tersebut adalah seperti mana yang dititahkan Yang di-Pertuan Agong untuk membuat pengesyoran kepada Seri Paduka Baginda sekiranya Darurat dapat ditamatkan lebih awal, mahupun sebaliknya.
Tiga nama Ahli Parlimen yang disenaraikan ialah Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (Kulim-Bandar Bharu), Anthony Loke Siew Fook (Seremban), dan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor).
“Hari ini YB Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Ketua Setiausaha Pakatan Harapan, telah menghantar satu surat kepada YB Datuk Takiyuddin Hassan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) untuk maklumkan bahawa pihak pembangkang akan memberi tiga nama bagi Jawatankuasa Bebas.
“Penyertaan wakil Pembangkang ke dalam Jawatankuasa Bebas ini tidak mengubah pendirian kami bahawa alasan-alasan yang dikemukakan Perdana Menteri berkenaan keperluan darurat tidak dapat diterima,” menurut kenyataan itu lagi.
Kenyataan itu ditandatangani Saifuddin sendiri selaku Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat, Loke (Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP), dan Datuk Dr Hatta Ramli (Setiausaha Agung Parti Amanah Negara).
Selain itu Majlis Setiausaha PH tetap bertegas bahawa majoriti Ahli-ahli Parlimen Pembangkang kekal dengan pendirian bahawa darurat ini perlu ditamatkan dan Parlimen perlu bersidang segera.
Semalam, Pengerusi Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, blok pembangkang bersetuju menghantar tiga nama Ahli Parlimen bagi menyertai Jawatankuasa Khas Bebas yang akan menasihati secara langsung Yang di-Pertuan Agong berhubung darurat yang dilaksanakan sehingga 1 Ogos ini.
BACA: Pembangkang setuju sertai Jawatankuasa Khas Bebas mengenai darurat
#Majlis Setiausaha #Pakatan Harapan #jawatankuasa bebas #darurat #Proklamasi Darurat #Takiyuddin Hassan #Parti Keadilan Rakyat #Parti Amanah Negara #DAP #Anwar Ibrahim #Parlimen #pembangkang #undang-undang #menteri
;